
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor akan dirakam keterangan esok dengan pihak polis susulan laporan polis dibuat terhadapnya berhubung isu dakwaan Pulau Pinang milik Kedah.
Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Noorsiah Saaduddin mengesahkan rakaman keterangan itu akan dibuat di Pejabat Menteri Besar Kedah di Alor Setar, selepas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberitahu Dewan Rakyat berhubung kertas siasatan terhadap Sanusi sudah dibuka.
“Rakaman percakapan MB Kedah akan dibuat esok mengikut Seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah.
“Siasatan dijalankan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), D5 Bukit Aman mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998 dan kes masih pada peringkat siasatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Terdahulu, Polis Pulau Pinang mengesahkan menerima empat laporan membabitkan Sanusi berhubung dakwaan Pulau Pinang milik Kedah.
Sebelum ini, Pengerusi DAP Kebangsaan, Lim Guan Eng menggesa rakyat Pulau Pinang membuat laporan polis terhadap kenyataan Menteri Besar Kedah itu yang disifatkannya sebagai tidak menghormati Perlembagaan Persekutuan.
Baru-baru ini Sanusi dilaporkan berkata, beliau sedia disiasat polis berhubung dakwaannya bahawa Pulau Pinang adalah hak Kedah dan negeri diterajuinya itu hanya mempunyai sempadan dengan Perak dan Perlis.