
Presiden Amanah Mohamad Sabu.
Pakatan Harapan (PH) tidak boleh bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) dibawah satu ‘khemah besar’ seperti yang dicadangkan sebelum ini, kata Mohamad Sabu.
Presiden parti Amanah itu berkata, pendekatan yang dicadangkan berhubung ‘khemah besar’ tersebut tidak merangkumi penyatuan atau kerjasama dengan parti-parti yang berada di dalam kerajaan iaitu UMNO, Bersatu atau PAS.
“Amanah ingin mengulangi penegasan bahawa ‘khemah besar’ yang dimaksudkan adalah penyatuan dan kerjasama parti-parti pembangkang bagi menghadapi PRU-15,”
“Pendekatan ‘khemah besar’ tidak merangkumi penyatuan atau kerjasama dengan parti-parti yang berada dalam kerajaan sama ada UMNO, Bersatu atau PAS,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohamad nampaknya tidak kisah jika episod kekalahan memalukan PH khususnya PKR dan Amanah yang hilang banyak kerusi yang mereka tandingi di Melaka dan Johor lalu.
Malah, penganalisis politik juga sudah meramalkan senario keputusan di Melaka dan Johor akan berulang pada pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) nanti jika tiada rundingan kerusi dibuat dengan parti yang melawan UMNO.
Penganalisis berkata hanya pertembungan satu lawan satu akan dapat menyekat kemaraan UMNO dan Barisan Nasional (BN) daripada memperoleh kemenangan besar seperti yang berlaku sebelum ini.
Dalam pada itu, Mohamad menggesa supaya parti pembangkang menumpukan kepada usaha untuk mencapai kemenangan dan tidak perlu berunding dengan parti selain mereka sahaja.
“Ke arah ini Amanah akan berusaha membanyakkan kawan demi menghadapi lawan yang sama iaitu Barisan Nasional dan juga Perikatan Nasional.
“Bagi yang membuat keputusan bahawa PRU-15 tidak akan dimenangi, usaha sebegini sememangnya tidak perlu. Usaha untuk kalah adalah jauh lebih mudah dari berjuang untuk menang,” katanya lagi.