Mat Sabu akui sokongan pengundi kepada Bersatu punca PH kalah PRN

Sokongan pengundi kepada Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) yang kuat punca Pakatan Harapan (PH) tewas dan hilang banyak kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Presiden Amanah, Mohamad Sabu berkata Bersatu memperoleh sokongan yang sama banyak semasa PRN Melaka dengan yang diperoleh mereka pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu dan ia menyebabkan gabungan itu tidak mempunyai majoriti yang mencukupi untuk memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Jika (undi diperolehi Bersatu) dicampur dengan undi popular yang diterima oleh PH iaitu sebanyak 114,457, ianya akan berjumlah 147,457 berbanding BN yang hanya memperolehi 122,741 undi.

“Oleh itu jelas bahawa kekalahan PH bukan disebabkan oleh Barisan Nasional (BN) yang hanya kekal dengan jumlah undi mereka,” katanya dipetik laporan media.

Bagaimanapun, Mohamad atau Mat Sabu berkata satu kajian yang terperinci akan dijalankan bagi mengenalpasti punca kekalahan mereka pada PRN Melaka.

“Apa-apa pun keputusan telah dibuat oleh rakyat, satu muhasabah perlu dilakukan untuk kebaikan di masa hadapan,” katanya dalam kenyataan semalam.

BN memenangi PRN Melaka selepas meraih 21 daripada 28 kerusi dengan UMNO menang 18 kerusi, MCA dua kerusi dan MIC satu kerusi. Ia menjadikan gabungan itu memiliki majoriti dua pertiga di DUN Melaka.

PH pula yang berjaya mendapat majoriti pada PRU lalu hanya berjaya mengekalkan lima daripada 15 kerusi yang dimenanginya pada 2018.

DAP hanya mengekalkan kemenangan di empat daripada lapan kerusi, Amanah menang satu daripada dua kerusinya manakala PKR kalah di kesemua tiga kerusi yang dimenanginya pada PRU lalu.

Gabungan itu juga gagal merampas semula dua kerusi yang dimenangi Bersatu ketika masih bersama mereka pada 2018. Kedua-dua kerusi itu dimenangi BN.

BERITA BERKAIT
POPULAR