
Datuk Seri Ahmad Maslan
Penjelasan sudah diberikan Datuk Seri Ahmad Maslan ekoran kenyataan kontroversinya menyuruh akar umbi UMNO menyokong calon DAP.
Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO sudah menerima penjelasan Ahmad atau dikenali Mat Maslan berhubung gesaan menyokong DAP pada Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti, kata ahlinya, Datuk Puad Zarkashi.
Puad berkata berdasarkan keterangan Ahmad yang menegaskan dirinya tidak menyebut mengenai calon DAP tetapi menyentuh mengenai calon Kerajaan Perpaduan.
“Ahmad Maslan beri penjelasan bahawa yang dia kata sebenarnya ialah supaya menyokong calon Kerajaan Perpaduan. Itu sahaja.
“Dia tiada sebut pasal DAP pun. Jadi kita terimalah penjelasan itu. Kita nak Kerajaan Perpaduan kekal hingga cukup penggal,” katanya selepas mesyuarat MT UMNO semalam.
Sebelum ini, Ahmad dilaporkan berkata, pengundi UMNO diminta memilih calon DAP dan Kerajaan Perpaduan di kawasan masing-masing demi mengukuhkan kedudukan kerajaan sedia ada.
Malah Ahmad berkata, tindakan itu wajar mengikut disiplin parti apabila berada dalam Kerajaan Perpaduan.