
Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan. - Gambar Agenda Daily
Beberapa punca yang menyumbang kepada kekalahan UMNO semasa Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) digariskan Datuk Seri Ahmad Maslan pada Perhimpunan Agung kali ini.
Bagaimanapun, semua punca yang dibentang Ahmad atau dikenali Mat Maslan itu tidak menyentuh Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi walaupun umum mengetahui desakan supaya disegerakan PRU-15 datang daripada Presiden UMNO itu sendiri sebelum ini.
Mat Maslan mendakwa wujud lima punca “luar biasa” yang menyebabkan UMNO kalah teruk dengan dengan empat daripadanya dirancang parti lawan.
Tambahnya, hal luar biasa itu berlaku kerana BN sebelum itu menang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di Johor dan Melaka serta beberapa pilihan raya kecil (PRK).
“Kita dah menang PRN Melaka, PRN Johor, tujuh PRK. Tentu yang kita anggap ada sesuatu yang luar biasa berlaku.
“Saya rumuskan ada lima perkara yang terjadi, antaranya salah guna data peribadi, anak-anak muda dan kita semua menerima ‘digital handbill’, siapa bagi nombor telefon bimbit kita kepada mereka,” katanya ketika berucap di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di Kuala Lumpur, hari ini.
Tanpa secara jelas menyebut pihak yang terlibat, Ahmad berkata ‘nombor telefon pengundi ‘dirompak’ dan disalahgunakan selain rasuah diberikan kepada pengundi.
“Mereka merasuah pengundi-pengundi di sebuah negeri, orang belia diberi RM150, siswa diberi RM300, kemudian orang kurang upaya (OKU) diberi RM600, pesara hantar ke rumah RM600,” dakwanya tanpa mendedahkan sebarang bukti.
Tambah Ahmad, pemimpin Umno juga turut menjadi mangsa apabila tohmahan terhadap mereka disebarkan melalui media sosial.
“Ada yang betul dan ada yang tak betul di Tik Tok, pemimpin Umno dizalimi, presiden, ahli-ahli MKT, beberapa orang, Bosku Datuk Seri Najib dizalimi, dań tentunya kita mengaku ada salah kita sendiri, sabotaj dalaman parti.
“Tetapi empat perkara di atas itu dirancang oleh pihak mereka dan dilakukan oleh pihak mereka,” tambahnya lagi.