Mat Hasan ulangi gesaan PRU perlu disegerakan selepas PRN Johor

Pilihan Raya Umum (PRU) perlu diadakan dengan segera, kata Datuk Seri Mohamad Hasan yang masih tetap dengan pendiriannya tersebut walaupun cadangannya itu sebelum ini menerima kritikan beberapa Ahli Parlimen UMNO lain yang tidak bersetuju.

Timbalan Presiden UMNO itu berkata Perdana Menteri mempunyai kuasa penuh bagi menentukan tarikh PRU untuk diadakan tetapi bagi strategi politik ia perlu disegerakan dengan memberi alasan bagi kestabilan politik negara, hujah yang sama diberikan semasa mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor.

“Saya tidak cakap bila tarikhnya. Itu terpulanglah kepada kebijaksanaan Perdana Menteri.

“Tetapi, dari segi strategi politik dan demi ketentuan kestabilan politik negara serta mendapat keabsahan mandat rakyat, PRU perlu diadakan segera. Saya bukan kata yang BN hendak kuasa, tetapi sebab kita (perlu) pulihkan imej Malaysia,” katanya dipetik laporan Utusan Malaysia.

Menurutnya, kerajaan yang sedia ada ditadbir oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika ini tidak dipilih melalui pilihan raya.

“Kerajaan hari ini tidak dipilih melalui pilihan raya. Mereka (masyarakat antarabangsa) tidak iktiraf kerajaan back door.

“Kerajaan sekarang ditubuhkan bukan hasil dari pilihan raya umum , tetapi ditubuhkan atas pakatan-pakatan Ahli-ahli Parlimen,” katanya lagi.

Mohamad berkata sebagai sebuah negara demokrasi, dunia hanya mengiiktiraf sesebuah kerajaan sah yang hanya dipilih menerusi pilihan raya.

“Kita adalah negara yang mengamalkan demokrasi. Jadi masyarakat antarabangsa akan mengiktiraf kita sebagai sebuah kerajaan yang dipilih secara sah oleh rakyat.

“Bukannya ditubuhkan secara berpakat-pakat. Beli katak sana, beli katak sini. Itu maksud saya. Bukan sebab kerana kita menang PRN di Melaka, menang PRN di Johor, yang menyebabkan kita hendak buat Pilihan Raya Umum.

“Tidak, tidak. Asas saya, (imej) Malaysia perlu dibetulkan semula dan politik perlu distabilkan,” katanya lagi.

BERITA BERKAIT
POPULAR