
Ketua Penerangan Sayap Bersekutu Nasional Bersatu, S. Gobi Krishnan.
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohammad Hassan didakwa tidak sensitif dalam mengeluarkan kenyataannya yang dilihat menyentuh isu agama dan kaum lain dalam berpolitik.
Ketua Penerangan Sayap Bersekutu Nasional Bersatu, S. Gobi Krishnan menyifatkan Mohamad atau Mat Hasan tidak menghiraukan sentimen agama lain selepas menyifatkan ‘kavadi’ sebagai satu beban.
“Untuk makluman Tok Mat (Mohamad) yang jahil, saya ingin memperbetul kefahaman beliau mengenai kavadi. Kavadi adalah satu bentuk pembayaran nazar oleh masyarakat Hindu semasa perayaan Thaipusam saban tahun yang mana masyarakat Hindu yang bernazar kemudiannya berpuasa dan menunaikan nazar mereka dengan mengangkat kavadi sebagai tanda terima kasih kepada Murugan Yang Maha Esa.
“Saya selaku Ketua Penerangan Sayap Bersekutu Nasional Parti Bersatu dengan ini mendesak Tok Mat supaya meminta maaf secara terbuka kepada seluruh umat Hindu di Malaysia dalam masa 24 jam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jika gagal, Gobi berkata pihaknya akan membuat laporan polis terhadap Mohamad di seluruh negara kerana terhina dengan kenyataan tersebut.
“Jika ini tidak dilakukan, maka kami akan menggerakkan kesemua NGO agama Hindu untuk turut bersama dengan kami membuat laporan polis secara besar-besaran terhadap beliau di seluruh negara,” katanya lagi.
Jelas Gobi, tindakan penghinaan terhadap mana-mana agama terutama yang dilakukan oleh pemimpin politik demi kepentingan politik sempit mereka tidak harus dibenarkan.
Dalam wawancara dengan Asia Times baru-baru ini, Mohamad menyebut tentang “kavadi besar” untuk menjelaskan kekalahan UMNO semasa PRU-14 lalu.
Mohamad juga dipercayai keliru mengenai sambutan Deepavali dengan Thaipusam.
Kenyataan “kavadi besar” Mohamad tidak dilaporkan dalam artikel Asia Times sebaliknya boleh didengar semasa rakaman wawancara itu.
Rakaman itu dikeluarkan selepas Mohamad menuduh Asia Times melaporkan kenyataannya di luar konteks.