Maszlee calon Layang-Layang, DAP terlepas hasrat letak Marina Ibrahim

Desas-desus berhubung ‘perebutan’ kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Layang-Layang yang akan ditandingi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor antara DAP dan PKR, sejak beberapa hari lalu, berakhir sudah.

DAP terpaksa mengalah dengan kehendak PKR yang mencalonkan Ahli Parlimen Simpang Renggam, Maszlee Malik, untuk kerusi DUN berkenaan, dan mengetepikan Marina Ibrahim.

Sebelum ini, DAP ingin meletakkan Marina yang juga Penolong Setiausaha Publisiti DAP negeri di DUN Layang-Layang, dan pada masa sama Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim mahukan anak murid baharunya itu bertanding di kawasan berkenaan.

Pemilihan Maszleen diumumkan sendiri Anwar hari ini, sekali gus menjadikan beliau sebagai sandaran Pakatan Harapan (PH) untuk menduduki kerusi Menteri Besar sekiranya gabungan AMANAH, DAP, PKR dan MUDA itu menang PRN Johor.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu, kerusi DUN Layang-Layang dimenangi calon BN, Onn Hafiz Ghazi dengan majoriti 364 undi mengalahkan calon PKR dan PAS.

PKR ketika itu meletakkan Murugan Muthu Samy memperoleh 7,085 undi, dan Mohd Jubri Selamat (PAS) mendapat 1,339 undi, manakala Onn sendiri sebanyak 7,449 undi.

Anwar dalam ucapannya dilaporkan berkata, PKR sebenarnya tidak menggalakkan Ahli Parlimen mereka bertanding pada peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN), namun pengecualian itu diberikan kepada Maszlee kali ini.

“Ahli Parlimen kita (PKR), kita tak cadang untuk bertanding (DUN), tapi satu sahaja kita beri pengecualian di Johor iaitu Dr Maszlee Malik di Layang-Layang. Ini kerana kita nak tonjolkan beliau sebagai tokoh kita di negeri ini yang boleh membantu dengan pengalamannya.

“Tetapi untuk nama-nama lain di zon tengah yang sepatutnya diumumkan hari ini, saya tangguh dahulu sekejap, biar ‘suspen’ sedikit,” katanya ketika berucap di Rengit, hari ini.

Terdahulu, Anwar mengumumkan lima calon PKR iaitu Fakharuddin Moslim bagi kerusi Pasir Raja; S Gopalakrishnan (Tiram); Napsiah Khamis Maharan (Kempas) dan Chiong Sen Sern (Bukit Batu).

Sementara itu, Maszlee berkata, beliau terharu dengan kepercayaan parti kerana pada asalnya jika mengikut peraturan tidak rasmi PKR, Ahli Parlimen tidak akan bertanding di DUN seperti dimaklumkan Anwar.

“Tapi parti putuskan untuk saya turun bertanding demi untuk menawan Layang-Layang yang kalah dan demi memastikan kawasan lain juga dapat dibantu. Apa sahaja tanggungjawab saya cuba laksanakan sebaik mungkin dengan sokongan jentera dan penyokong dalam Parlimen Simpang Renggam,” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR