Maszlee bukan calon MB, ramai calon lain: Pengerusi PH Johor

Pakatan Harapan (PH) Johor menafikan spekulasi mengaitkan Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr. Maszlee Malik merupakan calon Menteri Besar (MB) bagi gabungan itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.

Pengerusi PH Johor, Aminolhuda Hassan berkata tidak ada perbincangan dan persetujuan untuk meletak Maszlee dicalonkan sebagai MB.

Jelasnya perkara lebih penting adalah menumpukan kepada kemenangan terlebih dahulukerana PRN kali ini bukan satu perkara yang boleh dilihat mudah untuk kembali mentadbir negeri itu.

“(Setakat ini) belum ada perbincangan untuk calon Menteri Besar, tetapi ramai yang layak dan bukan satu atau dua (individu yang layak), jangan dirisaukan.

“Pada saya tumpu pada kemenangan dan sampai masanya, ramai lagi boleh (dicalonkan sebagai Menteri Besar), saya pun bersedia. Sebab bukan mudah dalam PRN kali ini untuk letakkan nama-nama (calon Menteri Besar) kerana berdepan situasi genting.

“Maknanya dalam keadaan rakyat tidak memikirkan siapa Menteri Besar, tetapi memikirkan kenapa PRN dibuat. Namun mahu tak mahu kena keluar mengundi untuk pastikan pilihan terbaik buat Johor,” katanya dipetik laporan Utusan Online hari ini.

Spekulasi mengatakan Maszlee yang dianggap anak emas kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan diletak bertanding pada PRN Johor dan bakal dicalonkan sebagai MB mewakili gabungan tersebut.

Pada November tahun lalu, Maszlee mengesahkan kemasukkan dalam PKR, ia diumumkan Anwar dalam satu majlis besar-besaran di Simpang Renggam November tahun lalu.

Bekas pengikut setia Tun Dr Mahathir Mohamad yang sebelum ini keluar Bersatu dan menyertai Pejuang kemudiaan bertindak keluar parti itu juga kini menjadi anak emas kepada Anwar yang masih mengejar cita-citanya menjadi Perdana Menteri (PM).

Maszlee sebelum ini seorang ahli akademik dan menyertai Bersatu untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-14.

Untuk rekod, Maszlee belum mengumumkan parti yang disertainya sejak menarik diri untuk bersama dengan parti diterajui Dr Mahathir.

Maslee pada November 2020 mengumumkan penarikan diri daripada Pejuang, selepas beberapa bulan menyertai parti tersebut.

Katanya, beliau mahu menumpukan sepenuhnya usaha untuk membantu rakyat yang terkesan dengan Covid-19 atas kapasitinya sebagai Ahli Parlimen Bebas.

Pada Ogos 2020 lalu, Dr Mahathir mengumumkan penubuhan Pejuang yang berasaskan kepada perjuangan Melayu.

BERITA BERKAIT
POPULAR