
Pejabat pentadbiran kerajaan Malaysia di Putrajaya.
Setakat ini masih tiada penjelasan mahu pun penafian berhubung laporan sebuah portal berhubung pemecatan Pengarah Bahagian Media dan Komunikasi Strategik Perdana Menteri (PMO).
Sebuah portal yang cuba mendapatkan pengesahan berhubung laporan pemecatan pegawai PMO itu masih tidak mendapat jawapan dan penjelasan terhadap isu dibangkitkan ketika ini.
Portal berita, Majoriti sudah menghubungi Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) di PMO, Datuk Mohammad Agus Yusoff tetapi beliau mendakwa tidak tahu menahu tentang hal tersebut.
Ketika ditanya sejauh mana kesahihan berita itu, Mohammad Agus berkata, beliau tidak dapat memberikan komen berkenaan isu terbabit kerana beliau di bawah jabatan berlainan.
“Saya tak ada apa nak komen, saya tak tahu dan kami berlainan jabatan.
“Setakat ini saya memang tak tahu tentang hal yang diperkatakan jadi saya enggan mengulas lanjut berkenaan status beliau, apa-apa kita tunggu dan lihat,” katanya.
Dalam pada itu, usaha portal Majoriti untuk mendapatkan Wan Nurzila menemui jalan buntu apabila beliau tidak menjawab panggilan telefon ketika dihubungi.
Malah, Setiausaha Akhbar yang bertugas di jabatan beliau turut mengunci mulut ketika disoal dan sehingga kini belum menerima sebarang maklum balas berkaitan isu berkenaan.
Terdahulu, portal SuaraTV melaporkan kemelut dalam pejabat PMO ekoran krisis komunikasi dihadapi dalam kalangan jentera dalam mengendalikan kempen Malaysia Madani diterajui Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Selain itu, masalah antara PMO dan J-KOM dikatakan antara punca utama penamatan tugas Wan Nurzila susulan hala tuju berbeza yang sekali gus menyebabkan imej kerajaan ketika ini kian lemah.