Mas lawan Rauf, pengundi Tanjung Bidara mahu peguam atau kaki kontroversi?

Pengundi Tanjung Bidara boleh memilih untuk memiliki seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang akan sentiasa membantu rakyatnya sekiranya diperlukan atau memilih seorang yang terpalit dengan banyak kontroversi di Melaka.

Perikatan Nasional (PN) mempertaruhkan Ahli Parlimen (MP) Masjid Tanah Datuk Mas Ermieyati Samsudin yang juga seorang Timbalan Menteri di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini, sementara Barisan Nasional (BN) pula memilih Datuk Seri Ab Rauf Yusoh yang sebelum ini menjadi punca pergaduhan dengan Datuk Seri Idris Haron.

Rauf yang juga Speaker DUN Melaka bertindak membubarkan dewan kerana tidak berpuas hati dengan tindakan Idris bersama tiga lagi ADUN menarik sokongan terhadap kerajaan Melaka.

Idris menarik sokongan terhadap Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali kerana mendakwa beliau dikawal oleh Rauf dalam hal ehwal pentadbiran kerajaan negeri.

Selain itu, Rauf juga dianggap sebagai pengikut setia Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang digeruni kerana pengaruhnya.

Malah, difahamkan pemilihan barisan calon PRN kali ini juga ditentukan oleh Rauf sehingga menyaksikan beberapa penyandang yang tidak sehaluan disingkirkan dengan memberi alasan kononnya mahu mengetengahkan muka baharu pada PRN kali ini.

Pergaduhan Rauf dengan Idris bukan satu rahsia lagi, malah dalam satu klip audio yang tular sebelum ini Idris semasa berbual dengan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meluahkan rasa tidak puas hatinya terhadap Rauf yang didakwanya mengawal Sulaiman sehingga masuk campur dalam keputusan kerajaan negeri.

Tindakan Rauf yang bertindak membubarkan DUN sehingga mengakibatkan PRN terpaksa dijalankan juga dikecam banyak pihak kerana penularan pandemik Covid-19 masih mengancam negara.

Bagaimanapun, semua perkara tersebut tidak dihiraukan Rauf dan sanggup memperjudikan nyawa rakyat semata-mata kerana perebutan kuasa sesama mereka.

Lebih menghairankan, BN juga dikatakan akan melantik Rauf sebagai KM yang baharu sekiranya berjaya memenangi PRN Melaka pada 20 November.

Malah, BN juga meletak Rauf di kerusi yang kononnya paling mudah untuk dimenangi iaitu di Tanjung Bidara kerana dikatakan kubu kuat UMNO untuk sekian lamanya.

BN sangat yakin pengundi di Melaka akan masih memilih mereka walaupun punca krisis politik yang tercetus berpunca daripada mereka sendiri, malah begitu berani untuk mencalonkan Rauf sebagai KM yang baharu.

Kerusi Tanjung Bidara sebelum ini diwakili Datuk Md Rawi Mahmud yang menang pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) dan PRU-14, tetapi bagi PRN Melaka, beliau mengundur diri atas faktor usia.

Rauf dilihat banyak pihak memilih kerusi berkenaan kerana ia kubu kuat BN berikutan kemenangan selesa Md Rawi pada PRU-14.

Pada pilihan raya itu, Md Rawi menang dengan majoriti 2,864 undi selepas menewaskan Datuk Halim Bachik (PKR) dan Imran Abdul Rahman (PAS).

Mas Ermieyati dijangka berdepan cabaran besar berdepan Rauf di Tanjung Bidara, namun tidak boleh dipandang rendah kemampuan seorang anak jati Masjid Tanah tersebut.

Pada PRU-14, Mas Ermieyati menang dengan majoriti 8,159 undi selepas menewaskan Datuk Dr Sabirin Ja’afar daripada PKR dan Nasir Othman (PAS).

Beliau merupakan MP Wanita pertama di Melaka selepas memenangi PRU-14 lalu di Masjid Tanah dan tidak mustahil juga boleh menjadi KM wanita pertama di Melaka.

Memiliki kelayakan pendidikan dalam jurusan undang-undang di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Mas Ermieyati banyak membantu rakyat di kawasan Parlimennya.

Ia terbukti sepanjang tempoh pandemik Covid-19 melanda negara, rakyat di Parlimen Masjid Tanah yang terjejas punca pendapatan mendapat perhatian sepenuhnya Mas Ermieyati yang tidak memilih bulu dalam memberi bantuan.

Tidak kira latar belakang politik, Mas Ermieyati memberi layanan dan bantuan seadilnya kepada warga Masjid Tanah termasuk juga mereka yang berada dalam kawasan DUN Tanjung Bidara.

Bantuan bakul makanan mahupun bantuan kewangan secara peribadi disalurkan Mas Ermieyati kepada pengundi di kawasannya.

Kesibukan menjawat jawatan Timbalan Menteri tidak menghalang Mas Ermieyati untuk menabur khidmat kepada warga Masjid Tanah, tiada juga kontroversi besar dikaitkan dengan beliau sepanjang memegang jawatan dalam Kabinet.

Untuk rekod, Mas Ermieyati juga Ketua Bersatu Bahagian Masjid Tanah.

Pengundi DUN Tanjung Bidara kini mempunyai pilihan, sama ada memilih calon KM yang terpalit dengan kontroversi atau seorang peguam yang akan sentiasa bersedia berkhidmat kepada rakyat.

BERITA BERKAIT
POPULAR