Manifesto mi segera BN atau yang jaga rakyat PN jadi pilihan warga Melaka?

Pengundi Melaka kini mempunyai pilihan sama ada memilih untuk kekal dibawah kerajaan Barisan Nasional (BN) yang menawarkan manifesto mi segera atau memilih Perikatan Nasional (PN) yang menawarkan ikrar membela kebajikan rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.

Jika rakyat Melaka memilih BN kali ini, tawaran utama yang dibuat Pengarah Pilihan Rayanya Datuk Seri Mohamad Hasan adalah untuk menambah lagi lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang akan dilantik.

Kedudukan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sedia ada adalah 28 semuanya dan jika ditambah lima lagi ADUN, ia bermakna bertambah lagi perbelanjaan untuk kerajaan negeri untuk membayar kos gaji dan elaun yang perlu diperuntukan.

Untuk rekod, gaji bagi seorang ADUN Melaka adalah RM9,000 tetapi ia belum dikiran termasuk elaun dan juga imbuhan keistimewaan lain bagi setiap wakil rakyat.

Jika berlaku penambahan lima ADUN lantikan, ia bermakna kerajaan perlu mengeluarkan sebanyak RM45,000 untuk membayar gaji sahaja tidak termasuk elaun dan keistimewaan lain.

Mohamad memberi alasan kononnya langkah tersebut bertujuan memastikan kemakmuran kepada seluruh rakyat Melaka tanpa mengira latar belakang politik.

“Kematangan politik ini turut dimanifestasikan menerusi cadangan meminda perlembagaan negeri bagi tujuan melantik lima orang ADUN tambahan termasuk dari kalangan belia dan NGO bagi membuka ruang dan perspektif persidangan DUN di luar ruang lingkup politik semata-mata,” katanya sebelum ini.

Bagaimanapun, BN perlu memenangi majoriti yang besar sekiranya mahu merealisasikan hasrat tersebut.

Tidak banyak disentuh berhubung kebajikan rakyat dalam manifesto yang dibuat secara tergesa-gesa atau boleh dikatakan hanya sekadar manifesto ‘mi segera’.

Paling mencuri tumpuan adalah rancangan projek-projek yang dilihat akan menguntungkan pemimpin UMNO dan BN di negeri itu, sebagai contohnya rancangan untuk memperuntukan RM931.2 juta bagi mengatasi banjir di negeri ini dalam tempoh lima tahun.

Selain itu, BN juga menjanjikan untuk memperbanyakkan tempat berniaga dengan infrastruktur asas lengkap, di samping menyediakan insentif dan bantuan modal untuk usahawan dan peniaga.

Rancangan itu pastinya dinanti-nanti para kontraktor BN jika berjaya menakluk kerajaan negeri sekali lagi.

Terdapat juga bahagian dalam manifesto BN yang menyentuh berhubung langkah untuk mewujudkan insentif sara hidup nelayan, petani dan penternak.

Bagaimanapun, para nelayan di Melaka sudah mengeluh kerana projek tambakan pasir di negeri tersebut yang menjejaskan punca pendapatan mereka, namun pihak BN tidak memberikan komitmen untuk membela nasib para nelayan kerana mementingkan pelaburan pasir yang menguntungkan mereka.

IKRAR PERIKATAN NASIONAL DI MELAKA

Sebagai perbandingan, manifesto PN atau ikrar dengan tema ‘Melaka Bangkit Gemilang’ pula menawarkan pelbagai insentif dan menumpukan kepada aspek kebajikan rakyat sebagai teras dalam janji mereka.

Ikrar PN Untuk Melaka berteraskan enam tunjang utama, 11 strategi dan 74 pendekatan bagi memacu pembangunan dan juga meningkatkan taraf ekonomi rakyat tempatan.

Bagi tunjang pertama iaitu keutuhan ekonomi, PN akan memastikan ekonomi Melaka dibangunkan dengan lebih utuh dan mampan termasuklah tumpuan kepada industri strategik dan berimpak tinggi serta fokus kepada pendigitalan dan pembangunan perusahaan mikro, kecil dan sederhana.

“Melalui pendekatan ini, lebih banyak peluang perniagaan dapat dijana, tentunya para peniaga di Melaka dapat memperoleh pendapatan yang lebih tinggi, bahkan boleh meningkat berlipat kali ganda pulangan kepada negeri, diterjemahkan melalui pembangunan pesat yang dapat dinikmati oleh setiap lapisan rakyat,” kata Tan Sri Muhyiddin semasa mengumumkan ikrar tersebut.

Dalam tunjang kedua iaitu keprihatinan kepada rakyat, PN akan memastikan aspek kesihatan mental dan jasmani, perumahan, kemudahan rekreasi, meningkatkan prestasi pendidikan rendah dan menengah serta meletakkan Melaka pada ranking antara tiga negeri terbaik dalam pencapaian keputusan peperiksaan awam di Malaysia.

“PN antaranya akan memberi perhatian pengurusan sekolah tahfiz khususnya yang berdaftar di bawah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) dengan bantuan penyelenggaraan, bantuan sekali bayar RM200 akan diberi kepada guru tahfiz, kelas Al-Quran dan fardhu ain (Kafa) serta tadika di bawah seliaan JAIM,” katanya.

Untuk tunjang ketiga, iaitu kerancakan sektor pelancongan bekas perdana menteri berkata PN ingin menawarkan program yang inovatif dan berimpak tinggi termasuk kemudahan tempat letak kenderaan bertingkat di kawasan pelancongan, diselaras sistem letak dan naik bagi melancarkan lalu lintas, terutamanya pada waktu puncak atau musim percutian.

PN juga akan menggiatkan usaha pemulihan industri pelancongan, termasuk pelancongan kesihatan antarabangsa bagi menjadikan Melaka destinasi pilihan pelancongan kesihatan serta sebagai tempat persinggahan pelancong kapal persiaran yang menyusuri Selat Melaka dan pusat penganjuran mesyuarat, insentif, persidangan dan pameran (Mice).

Untuk tunjang seterusnya iaitu kelestarian alam sekitar, beliau berkata usaha memulih dan memulihara ekosistem kawasan sungai, pesisir pantai dan marin akan dipergiat bagi melestarikan kawasan dan memperkayakan sumber laut agar rakyat di negeri Melaka akan dapat hidup dalam persekitaran yang bersih dan sihat.

Manakala di bawah tunjang kelima iaitu kecekapan infrastruktur, Muhyiddin berkata PN berikrar akan memperkukuh penyediaan infrastruktur yang cekap, termasuk pembinaan dan naik taraf jalan, sistem saliran, tebatan banjir, liputan Internet 5G, kemudahan “hotspot”, jalur lebar tanpa wayar (WiFi) secara percuma di kawasan terpilih.

Bagi tunjang terakhir iaitu keteguhan dan kejujuran pentadbiran, katanya ia adalah agenda untuk memperkasa perkhidmatan awam negeri, dipergiat melalui pendigitalan dan penglibatan secara terus dengan rakyat melibatkan tadbir urus yang cekap serta berintegriti bagi agensi serta syarikat milik kerajaan negeri.

Sebagai bonus, PN juga akan memberikan insentif RM200 kepada semua anak-anak yang baharu lahir Melaka sebagai tanda penghargaan.

Selain itu, semua 28 calon PN juga sudah menandatangani aku janji menentang rasuah pada PRN kali ini.

PILIHAN PENGUNDI?

Warga Melaka mempunyai pilihan untuk menentukan parti pilihan mereka untuk memerintah kerajaan negeri, sama ada memilih Pakatan Harapan (PH) yang menjadi punca bersama kejatuhan kerajaan negeri sebelum ini kerana bersekongkol dengan dua bekas ADUN UMNO bertindak menarik sokongan atau memilih kerajaan BN yang berebut kuasa sesama mereka dalam projek pasir.

Untuk rekod, pergaduhan sesama pemimpin UMNO sehingga terjatuhnya kerajaan pimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali adalah kerana perebutan kuasa melibatkan projek-projek pasir di negeri tersebut.

Lebih mengecewakan apabila PH pula kerana mahu menang sanggup meletak dua calon ‘katak berprinsip’, menurut Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sangat yakin mereka berdua akan membawa kemenangan besar kepada gabungan pembangkang itu.

Sementara itu, Pengerusi Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh sudah tidak sabar untuk ditabalkan sebagai KM yang baharu jika BN memenangi PRN Melaka kali ini.

BERITA BERKAIT
POPULAR