Manifesto BN beri bayangan bakal kembali kerajaan kleptokrasi

Barisan Nasional (BN) melancarkan manifesto mereka untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang berteraskan lima ikhtiar.

Manifesto BN itu dipanggil Pelancaran Ikhtiar Barisan Nasional (BN) Johor untuk memakmurkan negeri itu mengikut acuan mereka.

Tiada apa yang baharu atau terlalu menarik untuk diperkatakan selain retorik, bersifat populis, kitar semula atau gula-gula pilihan raya.

Manifesto BN Johor terdiri daripada lima ikhtiar untuk mencapai dan menyokong matlamat utama BN Johor iaitu menjadikan Johor sebagai negeri makmur didukung oleh naratif politik baharu yang matang lagi stabil.

Melalui ikhtiar pertama iaitu Kemajuan Ekonomi, BN berangan mahu mengembalikan kehebatan ekonomi Johor yang pernah menjadi penyumbang tertinggi kepada keseluruhan pelaburan Malaysia.

Rakyat Johor perlu sedar, BN bukan memiliki kuasa, magis atau ‘mukjizat’ politik hingga boleh menukar keadaan ekonomi dalam sekelip mata atau dalam tempoh yang singkat.

Sebelum Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan, kerajaan Johor adalah pimpinan BN dan UMNO. Mereka mengambil alih daripada kerajaan Pakatan Harapan (PH) tetapi selepas itu tiada formula yang benar-benar mujarab untuk merangsang ekonomi.

Memang benar Covid-19 menjadi penghalang utama yang telah membantutkan kemajuan dan prestasi ekonomi negeri yang dahulu pernah disegani, tetapi itu tidak boleh dijadikan alasan seolah-olah ‘tangan mereka terbelenggu dan terikat’.

Bagi ikhtiar kedua iaitu Kesejahteraan Rakyat, BN merancang dalam tempoh lima tahun, kesenjangan ekonomi dan pendapatan akan dirapatkan dengan pelbagai bantuan kepada golongan sasar yang memerlukan.

Usaha-usaha tersebut sudah dilakukan sebelum ini malah semasa BN menjadi kerajaan juga melakukannya tidak berjaya sepenuhnya.

Semua insiatif itu cantik untuk dibaca atas kertas tetapi apabila dilaksanakan nanti dikhuatiri tidak mencapai sasarannya. Masalah korupsi, integriti dan kronisme akan menjadi kekangan utama yang akhirnya kertas inisiatif itu akan renyuk dan dibuang dalam tong sampah.

Ikhtiar kedua itu juga mahu membela kawasan tanah rancangan tersebut di Johor merupakan kawasan Felda kedua terbesar di Malaysia. Ini termasuk meningkatkan pembinaan Perumahan Generasi Baharu Felda (PGBF) dan melantik wakil kerajaan negeri dalam Lembaga Felda.

Isu pembinaan PGBF sudah lama berlarutan sejak BN memerintah negeri itu dan isu tersebut berpunca antaranya daripada masalah tanah yang terletak di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.

Kerajaan negeri yang diketuai UMNO dan BN sebelum ini gagal menyelesaikan masalah yang membelenggu generasi kedua Felda itu dan kini apabila tiba PRN Johor, mereka sekali lagi memberikan tawaran dan janji manis.

Sebenarnya, apa yang dilakukan Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa menjadi Perdana Menteri dengan melupuskan RM8.3 bilion hutang peneroka pada tahun lalu adalah sumbangan terbesar kepada warga Felda.

Sumbangan itu amat besar dalam memastikan peneroka tidak lagi dibebani hutang yang mana sebelum ini tidak mampu dilakukan kerajaan BN.

Bagi ikhtiar ketiga dalam Manifesto BN yang dipanggil Orang Muda Johor (OMJ), gabungan itu menganggap mereka sebagai segmen masyarakat yang paling penting bagi Johor. Oleh itu, BN Johor akan melaksanakan enam inisiatif utama dalam masa lima tahun.

Ini juga dilihat menarik atas kertas, orang muda sudah tentu ‘terliur’ dengan tawaran diberikan tetapi BN perlu realistik dan mampu memenuhi tawaran yang diberikan supaya tidak menjadi bahan satira apabila gagal dilaksanakan nanti.

Mengenai ikhtiar keempat iaitu Pentabiran Berintegriti, ini adalah tawaran paling sukar dipercayai dan mustahil direalisasikan. BN mahu melaksana atau mewujudkan pentadbiran berintegriti.

Antara diwajibkan dalam ikhtiar keempat itu ialah setiap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Johor diwajibkan untuk mengisytiharkan harta mereka kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ini sudah pasti akan menjadi ikhtiar yang pertama sekali akan gagal dan menjadi sindiran serta bahan jenaka rakyat. Silap haribulan akan dikatakan manifesto kencing rakyat seperti dilabelkan terhadap manifesti Pakatan Harapan (PH) suatu masa dahulu.

Ikhtiar terakhir adalah Reformasi Politik iaitu BN Johor akan terus memupuk naratif politik baharu yang matang bagi menjamin kestabilan masa depan rakyat dan negeri tersebut.

Sepatutnya reformasi politik ini dilakukan dalam UMNO dan BN terlebih dahulu kerana mereka merupakan punca kepada ketidakstabilan politik ketika ini dengan mengadakan PRN yang berpunca daripada sifat tamak haloba dan gila kuasa.

UMNO Johor dan Pusat perlu melakukan reformasi politik dengan menukar kepimpinan sedia ada. Bagaimana BN mahu melakukan reformasi politik sedangkan dalam parti sendiri berkecamuk dan diteraju pemimpin bermasalah?

Kepimpinan tertinggi UMNO yang dicucuk hidung oleh kluster mahkamah dan tidak mampu berbuat apa-apa sehingga mengheret rakyat dalam PRN Johor, ini adalah kesalahan yang sukar dimaafkan rakyat terutama pengundi Johor pada kali ini.

Menerusi ikhtiar keempat dan kelima dalam Manifesto BN itu yang akan gagal dilaksanakan, secara tidak langsung akan meranapkan ikhtiar pertama, kedua dan ketiga kerana saling berkait dan kuat berhubungan.

Tidak mustahil manifesto itu sebenarnya membayangkan kuncu-kuncu kleptokrasi dan anak didik kluster mahkamah akan bertapak di negeri ini sekali gus bakal menyaksikan kembalinya rejim kleptokrasi tetapi dengan wajah baharu. – Kredit laporan Satu Berita, wartawan Abu Ubaidillah Rahman

BERITA BERKAIT
POPULAR