
Bekas Perdana Menteri yang juga bekas Menteri Kewangan dan Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB, Datuk Seri Najib Razak, 68, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.
Keberanian dan kehebatan dalam Facebook menyindir dan mempersenda orang sana sini tidak diterjemahkan Datuk Seri Najib Razak dalam mahkamah, malah sudah mengaku kalah sebelum bermula pertandingan.
Realitinya, kemegahan “Raja Media Sosial” gelaran yang diberikan Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini nampaknya tidak sehebat dalam prosiding mahkamah yang sedang dihadapinya, bukankah sebelum ini Najib selalu melaungkan “lawan tetap lawan”.
Jika “lawan tetap lawan”, Najib sepatutnya meneruskan perbicaraan dengan barisan peguamnya yang sedia ada bagi mempertahankan mempertahankan dirinya di mahkamah.
Bagaimanapun, orang ramai disajikan dengan drama yang sedang berlaku di Mahkamah Persekutuan.
Satu persatu drama dalam kes perbicaraan Najib, bermula daripada tindakan memecat peguam sendiri dan melantik peguam baharu, kemudiaan peguam menarik diri dan Najib memecat pula peguam baharu dilantik.
Tidak pasti apa yang cuba dibuktikan Najib dalam prosiding terakhir rayuannya kali ini.
Najib kemudiaan mengeluarkan kenyataan untuk meraih simpati orang ramai dengan mendakwa kononnya tidak mendapat perbicaraan yang adil di mahkamah, walhal peluang dan ruang sudah diberikan sebaiknya untuk mempertahankan dirinya tetapi sebaliknya beliau lebih berminat untuk mencetuskan drama.
Diri sendiri mencetuskan kontroversi dan Najib sendiri meminta simpati, drama apakah yang bekas Perdana Menteri ini cuba tunjukkan kepada rakyat?
Alasan tidak cukup masa yang diberikan Najib terlalu remeh, malah Najib mempunyai masa terlebih cukup untuk menyiapkan persediaan menghadapi kes mahkamahnya. Tapi apa yang Najib buat?
Najib boleh ke sana ke sini, turun ke ceramah politik bersorak-sorak “malu apa bossku”, Najib masih bole bermain golf sampai ke Singapura, Najib boleh ke sidang Dewan Rakyat, Najib boleh menarik sokongan terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassins sehingga kerajaan jatuh, jadi apa sahaja yang Najib tidak boleh buat selama berdepan kes mahkamah ini?
Dakwaan peguam Najib tidak cukup masa untuk menghadapi perbicaraan hanya alasan untuk melengah-lengahkan kes mahkamahnya, jika betul Najib mahu “lawan tetap lawan”, sepatutnya jangan menukar peguam pada saat akhir dan menggantikan dengan peguam yang tidak diketahui latar belakangnya.
Sudah beberapa hari kes mahkamah Najib berlangsung, sepatutnya peguamnya sudah memulakan hujah untuk mempertahankan boss mereka tersebut, tapi sebaliknya yang berlaku. Alasan demi alasa diberikan yang tidak munasabah.
Kemudiaan, UMNO pula digunakan sebagai senjata untuk menyerang badan kehakiman negara. Satu persatu pemimpin UMNO mengeluarkan kenyataan yang boleh dituduh menghina institusi kehakiman negara.
Jika rakyat biasa yang menghina mahkamah, sudah pasti lebih awal akan diheret ke pintu depan pengadilan. Bagaimanapun pemimpin UMNO memiliki keistimewaan dan kebal daripada undang-undang. Begitulah sikap pemimpin UMNO, mereka boleh boleh buat apa sahaja sehingga undang-undang negara diperlekehkan dan diperkotak-katikkan.
Adakah UMNO tidak sedar rakyat sudah muak dengan tingkah laku rasuah dan penyelewengan yang berlaku dalam negara?
Betul kata Tun Dr Mahathir Mohamad, UMNO kini sudah rosak daripada pemimpin atas sehingga bawahan.
Dalam keasyikan pemimpin UMNO menghina dan mengkritik mahkamah semasa perbicaraan Najib ini, tertanya-tanya apakah pendirian Perdana Menteri yang tidak memberikan sebarang ulasan berhubung tindakan pemimpin atasan partinya.
Adakah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hanya mahu melihat sahaja pemimpin atasan UMNO berterusan membelasah insititusi kehakiman negara?