Majoriti relatif tak jamin kestabilan kerajaan, PRU15 jalan penyelesaian

Untuk rekod, sejak tahun 1957, Malaysia mengekalkan sistem politik pelbagai parti di mana parti politik yang memperoleh majoriti kerusi di Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri boleh menubuhkan Kerajaan Persekutuan atau Negeri.

Sistem yang digunakan di Malaysia berasaskan ‘First-Past-The-Post-System’. Ini bermakna calon-calon yang memperoleh majoriti akan diisytihar pemenang di kawasan pilihan raya berkenaan.

Dewan Rakyat memiliki 222 kerusi, tetapi sekarang ini mempunyai 220 kerusi setelah berlaku kekosongan susulan kematian dua penyandangnya.

Namun, dalam keadaan politik yang tidak menentu sekarang ini tidak ada mana-mana parti politik atau gabungan yang mempunyai majoriti – sama ada majoriti mutlak atau majoriti relatif – sekali gus menyukarkan pemilihan Perdana Menteri Kesembilan.

Menelusuri jumlah sokongan di kalangan gabungan parti-parti politik sekarang ini, dilihat bahawa Perikatan Nasional (PN) mempunyai kelebihan apabila setakat ini mempunyai 108 kerusi. Jumlah itu adalah daripada Ahli Parlimen (MP) Bersatu sebanyak 31 kerusi; PAS (18); GPS (18); Bebas (empat); MCA (dua); dan masing-masing satu kerusi MIC, PBRS, PBS dan STAR.

UMNO yang mempunyai 38 kerusi bagaimanapun berpecah, dengan 31 MP diketuai Naib Presiden, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyokong dan kekal bersama PN.

Manakala tujuh lagi MP UMNO diketuai Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi masih kekal menolak PN yang dipengerusikan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Presiden Bersatu.

Berbanding Pakatan Harapan (PH) diketuai Datuk Seri Anwar Ibrahim, dengan 91 kerusi yang majoritinya daripada DAP, parti-parti kecil lain yang dikatakan mengikut bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pula hanya 14 kerusi.

Justeru, untuk membentuk sebuah kerajaan yang sering dilaung-laungkan pembangkang dan kumpulan minoriti UMNO itu sebagai ‘kerajaan stabil’, gabungan parti politik berkenaan mesti memperoleh sokongan majoriti mutlak, bukan majoriti relatif atau majoriti mudah.

Untuk menjadi kuat dan stabil, mana-mana gabungan parti mesti memperoleh lebih daripada 115 sokongan.

Jika sekadar angka sokongan antara 111 hingga 114 yang merupakan majoriti relatif, kedudukan kerajaan yang ditubuhkan dan Perdana Menteri yang dilantik mengetuainya tetap berada di hujung tanduk.

Bila-bila masa sahaja kerajaan yang memiliki majoriti relatif boleh tumbang sekali gus akan menyaksikan sejarah berulang dengan pelantikan Perdana Menteri baharu.

Untuk rekod, belum pun habis penggal Dewan Rakyat Ke-14 selama lima tahun, negara sudah menyaksikan dua kali pertukaran kerajaan dan Perdana Menteri. Kali pertama berlaku apabila Kerajaan PH tumbang selepas Tun Dr Mahathir Mohamad meletak jawatan, dan digantikan Kerajaan PN.

Namun tindakan 15 MP UMNO diketuai Zahid menarik sokongan, kerajaan PN juga tumbang setelah Muhyiddin meletak jawatan Perdana Menteri.

Kini Malaysia tidak mempunyai ‘kerajaan’ sebaliknya Yang di-Pertuan Agong memberi kepercayaan kepada Muhyiddin untuk menjadi Perdana Menteri sementara sehingglah seorang Ahli Dewan Rakyat yang memiliki majoriti – walaupun satu undi – dilantik sebagai Perdana Menteri Kesembilan.

Namun, sebagaimana disebutkan di atas siapa pun yang menjadi Perdana Menteri kerajaan majoriti relatif ia akan mudah tumbang sekiranya ada MP yang tidak berpuas hati dan menarik sokongan, sebagaimana dilakukan Zahid dan kumpulannya terhadap PN.

Justeru, pilihan yang ada bagi membentuk kerajaan baharu sewajarnya diserahkan kembali kepada rakyat menerusi PRU. Hanya rakyat yang berhak membuat penentuan.

Tetapi pastinya ramai memikirkan situasi pandemik Covid-19 ketika ini sekiranya PRU diadakan. Namun, ketika rakyat diajak untuk hidup dalam norma baharu bersama Covid-19, tidak sukar jika PRU15 diadakan apabila negara mencapai imuniti kelompok.

Tok Akhi
Pemerhati Politik Kampung

Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Agenda Daily. Segala risiko akibat penyiaran artikel ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

BERITA BERKAIT
POPULAR