Mahu bertanding walaupun disabit kesalahan, Najib nak jadi PM lagi?

Walaupun sudah disabitkan kesalahan dan dijatuhkan hukuman atas pertuduhan yang dihadapinya di mahkamah, Datuk Seri Najib Razak masih menyimpan cita-cita untuk bertanding dalam pilihan raya umum depan.

Hasrat untuk bertanding semula menimbulkan tanda tanya sama ada Najib yang terpalit dengan kontroversi 1Malaysia Development Berhad (1MDB) itu mahu menjadi Perdana Menteri (PM) sekali lagi.

Bekas PM itu dalam satu wawancara bersama media luar negara itu secara berkias berkata mana-mana ahli politik pastinya mahu ingin menjadi Ahli Parlimen (MP) tetapi tidak membuat pengakuan secara terbuka mengenai hasratnya tersebut.

“Mana-mana ahli politik yang mahu memainkan peranan, tentunya ingin menjadi Ahli Parlimen,” katanya dipetik dalam laporan Reuters.

Selain itu, Najib juga masih berkeras dengan mendakwa pertuduhan yang dihadapinya bermotif politik dan mendesak agar Siasatan Suruhanjaya Diraja (RCI) ditubuhkan.

“Saya tegas mahu RCI dijalankan bagi sebuah perbicaraan yang adil untuk semua orang, bukan hanya untuk saya,” katanya lagi.

Bagaimanapun, sekiranya Najib dicalonkan ia bakal menimbulkan isu berhubung perundangan dan perlembagaan negara memandangkan mana-mana individu yang dijatuhkam hukuman penjara lebih setahun atau didenda lebih RM2,000 akan hilang kelayakan untuk bertanding dalam pilihan raya umum.

Najib sebelum ini disabitkan kesalahan rasuah tahun lalu dan dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun susulan salah laku melibatkan dana 1MDB.

Kes tersebut kini masih dalam proses rayuan di mahkamah.

Selain itu, Najib juga berdepan banyak pertuduhan lain di mahkamah yang melibatkan dana 1MDB dan juga berhubung tuntutan cukai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

BERITA BERKAIT
POPULAR