Mahathir yang mahu jumpa Muhyiddin, dedah Ketua Armada Bersatu

Ketua Armada Bersatu Malaysia Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal hari ini mendedahkan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang mahu bertemu penggantinya Tan Sri Muhyiddin Yassin, baru-baru ini.

Menurutnya bukan Presiden Bersatu dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu yang meminta berjumpa, sebaliknya Dr Mahathir yang juga Ahli Parlimen Langkawi yang mahu berbuat demikian.

“Bukan Tan Sri yang nak jumpa Tun. Tetapi, Tun yang menghantar utusannya, Khairuddin Salleh, untuk berjumpa Muhyiddin,” katanya memetik laporan The Star malam tadi.

Katanya Muhyiddin bertemu dengan beberapa pemimpin pembangkang selepas pilihan raya Johor, tetapi beliau tidak mengetahui apa yang berlaku semasa pertemuan dengan pengerusi Pejuang itu.

“Saya tidak tahu kenapa Dr Mahathir membuat kenyataan itu. Mungkin dia masih kecewa dengan apa yang berlaku kepadanya dalam Bersatu sebelum ini.”

Terdahulu, Wan Ahmad Fayhsal mempertikaikan tuduhan Dr Mahathir bahawa Muhyiddin seorang Perdana Menteri yang gagal, sedangkan Malaysia dapat memasuki fasa peralihan endemik mulai semalam (1 April) juga atas usaha dilakukan Ahli PArlimen Pagoh itu.

“Muhyiddin melindungi negara ini daripada masalah yang lagi rumit dengan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang tepat dan tegas, langkah negara yang mendapat pengiktirafan antarabangsa.

“Hakikat bahawa kita akhirnya berjaya memasuki fasa peralihan ke endemik Covid-19 itu kerana tekad kepimpinan beliau semasa krisis Covid-19,” katanya.

“Kecekalan Tan Sri terbukti apabila beliau tidak mencampuri urusan undang-undang membabitkan ‘kluster mahkamah’. Beliau menunaikan janjinya itu kepada rakyat, dan beliau tanggung akibatnya.”

‘Kluster mahkamah’ merujuk kepada beberapa pemimpin UMNO terkemuka, termasuk Presiden Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Najib Razak.

BERITA BERKAIT
POPULAR