
Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang.
PAS berpendapat pembentukan kerajaan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) sekarang ini dilakukan mengikut proses madani luar tabii.
Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata pembentukan kerajaan itu menyebabkan rakyat bingung apabila satu tema baharu diperkenalkan yang memasukkan perkataan ‘madani’, setelah PH-BN menguasai Putrajaya secara luar tabii.
“Saya tidak tahu pencipta tema baharu ini mengambil rujukan daripada siapa atau dari mana, sama ada dari timur atau barat, daripada Islam atau tidak. Tema tersebut laksana nasi campur yang tidak diketahui ramuannya dan bilakah ia dimasak, sama ada sudah basi ataupun tidak.
“(Ia) melibatkan proses madani di luar tabii yang telah dinyatakan oleh Ibn Khaldun. Mereka yang rosak kerana rasuah, salah laku, ekstrem, nepotisme dan kronisme telah dihimpunkan dalam satu pakatan, bersama golongan-golongan lain yang muncul, termasuk mereka yang ditolak oleh rakyat,” katanya dalam satu kenyataan.
Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu berkata Islam berjaya mencipta sebuah tamadun baharu yang dinamakan Hadharah Islamiah, bukan Islam Hadhari yang berbeza maknanya.
Katanya tamadun ditegakkan bersama masyarakat madani mengikut proses tabii dan ia melibatkan generasi baharu dan lama yang baik dan kalangan bukan Islam yang berilmu dan bermoral kemanusiaan.
Ibn Khaldun katanya, mengumpamakan berlakunya proses pusingan perubahan dalam kerajaan seperti seorang manusia; bermula dengan kelahiran, remaja, dewasa, tua, dan berakhir dengan nyanyuk. Kemudian, muncul pula kerajaan yang lain.
“Kelahiran negara bermula dengan mereka yang berjuang daripada generasi baharu dan sebahagian daripada generasi lama yang bertahan dengan prinsip dan konsep yang tidak terpengaruh dengan kezaliman dan penyelewengan, sama ada daripada penduduk luar bandar atau pinggir bandar. Sehinggakan, pembentukan negara berjaya ditegakkan dengan ketinggian semangat, ilmu dan moral,” katanya.
Ahli Parlimen Marang itu berkata kemunculan generasi baharu yang bersih bersama kumpulan asal yang bertahan, dengan kumpulan yang berpenyakit dibuang; semuanya mengikut proses madani secara tabii.
“Kita menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) sehingga PN mencapai kejayaan mengikut proses madani secara tabii. PN yang bertemakan ‘Bersih dan Stabil’ (BEST) melakukan islah dan tajdid dalam pemerintahan negara sehingga berjaya mendapat sokongan generasi baharu di luar bandar dan pinggir bandar yang tidak leka bersama golongan yang bertahan.
“Tiba-tiba, muncul istilah madani luar tabii dan politik luar tabii. Malangnya, kerajaan ditubuhkan dengan mengumpulkan pecahan-pecahan mereka yang ditolak oleh rakyat bermadani.
“Maka, mereka yang tidak tabii menubuhkan kerajaan atas nama kerajaan perpaduan (kerajaan tanpa pembangkang atau pembangkangnya kecil laksana nyamuk) yang di luar istilah politik tabii.
“Maka, perjuangan kita belum selesai. Kita wajib mempertahankan pencapaian ini dengan nilai tambah mengisi kemenangan yang ada dan mencari dukungan yang lain untuk bersama kita dari segi bilangan kerusi yang mencukupi,” katanya.
Abdul Hadi berkata PN berjaya mendapat sokongan jentera kerajaan berserta generasi baharu dan lama yang berfaedah, tetapi dicelarukan oleh konsep politik dan madani di luar tabii.
“Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan diadakan pada bila-bila masa merupakan satu ‘exercise’ politik yang wajib dimanfaatkan untuk menambah jumlah kemenangan dan kekuatan kita, insya-Allah,” kataya lagi.