
Lima calon akan bersaing merebut kerusi DUN Tioman 3 Disember 2022.
Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman menyaksikan pertandingan lima penjuru pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) yang diadakan semula 7 Disember ini susulan kematian calon daripada Perikatan Nasional (PN) pada Sabtu lalu.
Pertandingan membabitkan empat calon yang disahkan layak bertanding 5 November lalu serta calon baharu mewakili PN, Nor Idayu Hashim.
Pengumuman lima calon itu dibuat Pegawai Pengurus Pilihan Raya DUN Tioman, Datuk Ahmad Nasim Mohd Sidek, setelah selesai penamaan calon hari ini.
PN mencalonkan Nor Idayu, 35, menggantikan Md Yunus Ramli yang meninggal dunia di Hospital Rompin akibat komplikasi jantung pada 19 November lalu.
Calon lain membabitkan penyandang DUN Tioman, Datuk Seri Johari Hussain mewakili Barisan Nasional (BN), Sulaiman Bakar (Bebas), Osman A Bakar daripada Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan Mohd Fadzli Mohd. Ramly, Pakatan Harapan (PH).
Mohd Johari menyandang kerusi DUN Tioman sejak 2008 dan menang dengan majoriti 1,280 undi dalam pertandingan empat penjuru pada PRU-14.
DUN Tioman mempunyai 28,465 pengundi termasuk 262 pengundi awal dan tiga pengundi pos.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 3 Disember untuk undi awal dan pengundian pula 7 Disember.
Kerusi DUN Tioman turut menjadi tumpuan selepas keputusan PRU15 lalu menyaksikan kerajaan negeri tergantung kerana tiada parti bertanding mendapat majoriti mudah untuk membentuk kerajaan.
Pada PRU-15 Sabtu lalu, Perikatan Nasional menang 17 kerusi; BN (16) dan PH (lapan).