
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof mencabar menteri UMNO dalam Kabinet Kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang diterajui Bersatu, meletak jawatan kerana ‘wajah’ mereka sudah dikenali ketika Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 semalam.
Tanpa menjelaskan siapa menteri-menteri UMNO itu, beliau berkata, ‘wajah sebenar’ mereka sudah diketahui menerusi ucapan-ucapan di dalam PAU 2020 yang berakhir semalam.
Memetik laporan media beliau berkata, menteri-menteri UMNO yang ibarat ‘panglima perang berwajah dua’ bersikap berbeza ketika berdepan Perdana Menteri, tetapi apabila berada di dalam kalangan ahli UMNO, mereka ini bersikap lain.
“Bagi saya, menteri ‘dua wajah’ ini boleh pergi. Sekiranya anda tidak mahu jadi sebahagian daripada kerajaan, jangan jadi,” katanya sambil menegaskan mereka yang berada dalam kerajaan mesti kukuh dalam pendirian dan pegangan.
Beliau mempersoalkan sama ada menteri-menteri UMNO berwajah dua itu mahukan perpaduan antara ummah supaya negara boleh maju ke depan atau adakah mereka mahu meneruskan budaya panglima perang dua wajah dalam UMNO.
Redzuan yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) berasa lega kerana PAU 2020 itu akhirnya menunjukkan sikap sebenar panglima perang UMNO, termasuk mereka yang berada di dalam Kabinet dipimpin Bersatu.
Bersatu juga katanya, akan mengadakan mesyuarat hari ini atau esok bagi membincangkan pendirian dan tindak balas selepas UMNO memutuskan untuk memutuskan hubungan dengan Bersatu.
“Muhyiddin sudah menyatakan dengan jelas kita sedia bersaing dengan UMNO. Walaupun kita mahu semua parti Melayu bekerjasama, kalau Umno cabar, kita akan sahut,” katanya.