
Rafizi Ramli menyindir cadangan UMNO supaya menubuhkan Lembaga Unggas Negara.
Cadangan UMNO untuk menubuhkan Lembaga Unggas Negara hanya semata-mata untuk menangani kenaikan harga ayam menerima kritikan Rafizi Ramli.
Bakal Timbalan Presiden PKR itu menyindir cadangan UMNO yang diputuskan semasa Mesyuarat Tertinggi (MT) semalam dengan menyifatkan ia suatu yang melucukan.
“Idea UMNO untuk menangani masalah kenaikan kos makanan dan sara hidup ialah dengan menubuhkan Lembaga Unggas (Ayam) Kebangsaan.
“Selepas ini apabila harga kambing pula naik, UMNO akan menubuhkan Lembaga Kambing Kebangsaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Rafizi berkata cadangan UMNO hanya akan menambah beban kepada rakyat apabila terpaksa membayar gaji mereka yang dilantik dalam lembaga tersebut dan kemudiaan tidak akan menyelesaikan masalah harga ayam yang naik.
“Akhirnya, tindakan ini hanya menambah bebanan kewangan kepada rakyat yang terus menanggung gaji, elaun dan belanja ahli-ahli politik dari parti-parti mereka yang dilantik untuk menjadi bos-bos kepada lembaga ayam, lembaga kambing dan lain-lain,” katanya lagi.
Sebaliknya, Rafizi mencadangkan supaya mewujudkan stok penimbal (stockpile) serta penstrukturan semula sejumlah kementerian agar pengurusan rantaian bekalan ditangani dengan lebih berkesan tanpa pertindihan kuasa antara kementerian.
Jelasnya, krisis ketika ini tidak begitu berbeza dengan apa yang berlaku pada era 1970-an, ketika berlakunya perang dan konflik geopolitik, inflasi, sekatan bekalan minyak mentah dan kekurangan bekalan bijirin.
“Negara-negara yang lebih bersedia (dari segi dasar kelangsungan makanan, keupayaan kerajaan menyelaraskan kembali bekalan makanan dan kekukuhan kewangan negara) berjaya menangani gangguan sebegini tanpa menyebabkan kesengsaraan rakyat, sedangkan negara-negara yang lemah tadbir urusnya akan menyeksa rakyat (seperti yang berlaku di Sri Lanka sekarang),” katanya.
Kerajaan juga tidak sepatutnya menyalahkan konflik antarabangsa bagi menutup kegagalan mereka, katanya lagi.
Rafizi berkata konsep stok penimbal terbukti berkesan dan telah digunakan sehingga kini, ia terbukti semasa dunia berdepan krisis makanan pada era 1979-an.
“Dasar stok penimbal memberi kuasa dan peruntukan kepada kerajaan persekutuan untuk menggunakan peruntukan untuk membeli dan menyimpan secara pukal bekalan makanan dan keperluan utama rakyat (termasuk petrol dan diesel).
“Simpanan pukal stok penimbal ini akan digunakan dengan disuntik ke pasaran apabila ada gangguan bekalan yang menyebabkan kenaikan harga mendadak,” katanya sambil menambah langkah itu juga akan membantu menstabilkan harga barangan keperluan.
Katanya, ada banyak cara dan instrumen kewangan yang boleh digunakan untuk membina stok penimbal negara, antaranya hedging atau kontrak pembelian masa depan.
Justeru, katanya lagi, kerajaan patut menubuhkan badan seperti National Commission on Supplies and Shortages Amerika Syarikat, yang merupakan badan bebas yang bertanggungjawab membina stok penimbal bagi menguruskan risiko gangguan bekalan makanan.