
Khairy Jamaluddin dipecat UMNO ekoran pertembungan dengan Presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin memberitahu tidak terkesan dengan keputusan parti memecatnya malam tadi.
Malah bekas menteri kesihatan itu juga berkata beliau tidak akan tunduk dengan keputusan UMNO tersebut.
“Malam ini saya dipecat oleh parti yang saya sayang, yang saya berikan kesetiaan.
“‘Unbowed, unbent, unbroken‘,” katanya menerusi laman sosial Facebook dan Twitter, malam tadi.
Malam tadi, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan mengesahkan Khairy antara pemimpin yang dipecat daripada parti tersebut dengan alasan melanggar disiplin parti mengikut Perlembagaan UMNO kerana kesalahan sewaktu Pilihanraya Umum ke-15.
Selain Khairy, Tan Sri Noh Omar turut dipecat bersama lima lagi ahli UMNO Pasir Gudang, sembilan ahli dari UMNO Putrajaya, dua ahli Umno Tanjong Karang dan 26 ahli UMNO Pahang.
Sementara beberapa lagi pemimpin UMNO digantung keahliannya selama enam tahun iaitu Datuk Seri Hishamuddin Hussein, Datuk Seri Maulizan Bujang, Datuk Seri Salim Sharif dan Shahril Sufian Hamdan.
Keputusan parti dipimpin Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi itu menerima pelbagai reaksi sejak malam tadi.