Lebih memalukan apabila calon PM pembangkang juga tiada majoriti

Selesai satu bab sebaik peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin, bagaimanapun yang menjadi tanda tanya kini adakah blok pembangkang yang berzikir setiap hari mendesak supaya kerajaan Perikatan Nasional (PN) berundur memiliki majoriti untuk melantik Perdana Menteri (PM) dikalangan Ahli Parlimen (MP) mereka.

Ketika ini, DAP paling lantang menyalak dan merayu supaya Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi PM baharu tetapi tidak membentangkan atau mendedahkan majoriti dimiliki mereka, jadi bagaimana mahu ditabal cikgu Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi itu di Putrajaya.

Sekiranya blok pembangkang, Pakatan Harapan sudah memiliki majoriti yang didakwa mereka ada, sudah pastinya Anwar paling awal berbaju Melayu hitam berada di Istana Negara untuk mengangkat sumpah pagi tadi.

Namun, gesaan yang keluar daripada mulut Lim Guan Eng dan Lim Kit Siang adalah menyeru semua pihak untuk menyokong Anwar sebagai PM baharu.

Kegilaan apakah ini yang sedang berlaku di sebelah blok pembangkang, ia bermakna mereka tidak mempunyai strategi dan hanya mempunyai satu matlamat iaitu menjatuhkan Muhyiddin dan kerajaan sedia ada tanpa mengira langkah seterusnya.

Ini yang dikatakan muslihat sedang dimainkan pembangkang, mendakwa mereka memiliki majoriti walhal faktanya mereka tidak ada jumlah yang mencukupi untuk menabalkan Anwar sebagai PM baharu, ia sekali pun Presiden UMNO bersama beberapa MP yang berada dalam kemnya menyokong Anwar tetapi juga tidak mencukupi jumlah diperlukan.

Bagaimanapun, Zahid difahamkan bersama 8 MP UMNO yang lain sudah menukar hala tuju mereka untuk menyokong Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah sebagai calon PM mereka.

Terbaharu, Presiden Amanah, Mohamad Sabu juga mengesahkan blok pembangkang kini tidak ada majoriti yang mencukupi sehingga terpaksa merayu sokongan MP yang melompat parti sebelum ini.

“Justeru, saya menyeru kepada semua rakan-rakan ahli parlimen yang menang di atas tiket Pakatan Harapan (PH) dalam pilihanraya yang lalu, kembali bersatu dibawah payung Pakatan Harapan agar mandat yang diberikan oleh oleh rakyat dapat dilaksanakan sebaik mungkin.

“Apa yang telah berlaku sebelum ini biarkan ia berlalu dan kita cipta sejarah untuk bina semula negara tercinta ini. Di dalam menghadapi situasi getir seperti ini, jiwa besar amat diperlukan kerana tidak ada yang benar-benar diharapkan oleh rakyat melainkan kesihatan dan ekonomi rakyat kembali pulih,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan Mat Sabu ini mengesahkan juga lagi mereka tidak ada majoriti yang dimiliki sehingga terpaksa membuat pelbagai rayuan hanya demi semata-mata individu bernama Anwar.

Tidak malukah mereka ini, sehingga terpaksa mengemis sokongan MP yang mereka kecam sebelum ini sebagai ‘katak’ untuk kembali menyokong calon blok pembangkang.

Untuk rekod, jika dilihat dari sudut parti politik, bukannya secara individu, jumlah yang menolak kepimpinan Muhyiddin sebanyak 120 MP. Namun perlu diingat bahawa daripada 120 MP itu masing-masing tidak menyokong antara satu sama lain.

Anwar mempunyai sokongan 91 kerusi, Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mendapat dukungan 15 MP UMNO, manakala kem Tun Dr Mahathir Mohamad dikatakan mempunyai 14 kerusi jika dicampur bersama parti Warisan. Ketiga-tiga kumpulan ini tidak menyokong antara satu sama lain.

Yang kekal menyokong Muhyiddin pula sebanyak 100 MP.

Keabsahan PM baharu itu juga boleh dipertikaikan kerana sebelum ini pembangkang telah mempertikaikan keabsahan Muhyiddin sebagai PM.

Jadi, PM baharu itu mesti berani membawa usul undi percaya terhadapnya di Parlimen untuk membuktikan dia memperoleh sekurang-kurangnya 111 sokongan MP.

BERITA BERKAIT
POPULAR