
Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.
PAS secara tidak rasmi mempelawa Gerakan Tanah Air (GTA) – gabungan parti-parti kecil – menyertai Perikatan Nasional (PN) demi penyatuan ummah dan untuk kestabilan negara.
Setiausaha Agung PAS Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata kewujudan GTA yang menggabungkan beberapa parti minoriti itu sama sekali tidak menggugatkan parti itu yang menjadi anggota komponen PN sejak awal penubuhannya.
Malah katanya, kewujudan GTA juga dilihat sukar memberi impak besar terutama pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan datang.
Namun, sebaliknya beliau turut menyeru gagasan tersebut mengambil keputusan untuk bergabung dengan gagasan sedia ada seperti PN yang kini lebih dominan sebagai parti Melayu selepas UMNO-Barisan Nasional.
“PAS tidak akan sertai GTA kerana kita dah ada gabungan sendiri dan saya tak nampak GTA akan beri satu kesan yang besar pada Pilihan Raya Umum ke-15 nanti.
“Parti gabungan GTA bukan parti dominan dalam negara ini. Oleh itu saya juga menyeru GTA untuk datang menyertai kita demi untuk penyatuan ummah dan kestabilan negara.
“Ini kerana, perancangan untuk membawa manfaat kepada rakyat dan perpaduan nasional cukup penting,” katanya menurut Harakah
Beliau yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ismail, di Kota Bharu, hari ini.
Sebelum ini, Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan penubuhan GTA iaitu sebuah gabungan bertujuan memperkasa bangsa Melayu terutama dalam bidang ekonomi.
Dr Mahathir yang juga Ahli Parlimen Langkawi berkata sebagai permulaan gabungan itu dianggotai oleh parti Pejuang, Parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman), Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) dan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra).
Sebaliknya, PN dianggotai beberapa parti besar termasuk Bersatu, PAS, Gerakan, STAR Sabah dan SAPP, selain mendapat sokongan daripada wakil rakyat Bebas.