
Siapa yang kini layak menjadi Ketua Menteri Sabah? (Dari kiri) Datuk Seri Bung Moktar Radin (BN); Datuk Seri Hajiji Noor (GRS); atau Datuk Seri Shafie Apdal (Warisan).
Politik Sabah yang bergolak semula, setelah ada pihak berusaha menumbangkan kepimpinan Datuk Seri Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri (KM) dan menubuhkan kerajaan baharu, bukan kali pertama berlaku di negeri itu.
Sebelum ini pun telah berlaku beberapa perebutan kuasa dalam kalangan parti politik di Sabah, khususnya melibatkan UMNO dan Warisan, dengan masing-masing cuba ‘membeli’ Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada pembangkang dan parti-parti kecil lain.
Untuk rekod, pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16 pada 2020 lalu, Warisan diketuai Datuk Seri Shafie Apdal menang 29 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), diikuti Perikatan Nasional (17 kerusi); Barisan Nasional (BN – 14 kerusi); PBS (tujuh); Bebas (tiga); PKR (dua); dan UPKO (satu).
Tetapi, beberapa ADUN Warisan keluar daripada parti itu, manakala PN/Bersatu membentuk GRS dan menubuhkan kerajaan dengan sokongan BN, dan mengangkat Hajiji sebagai KM.
Bagaimanapun, kemelut politik di negeri itu muncul semula setelah Hajiji dan ADUN Bersatu mengisytiharkan keluar parti, tetapi mendakwa kekal menjadi ahli GRS.
Menyusul selepas itu, penganalisis politik seperti Jeremiah Yee mempertikaikan keabsahan Hajiji sebagai KM sambil memetik Perlembagaan Negeri Sabah, dan meminta Yang di-Pertuan Negeri membatalkan pelantikan Hajiji.
Setiausaha Agung GRS, Datuk Seri Masidi Manjun kemudian mengesahkan ada gerakan untuk menumbangkan kerajaan negeri sambil berkata gabungan berkenaan bersedia membuktikan keabsahan Hajiji sebagai KM yang menerima sokongan majoriti ADUN Sabah.
Episod kemelut politik di Sabah semakin menarik apabila Pakatan Harapan (PH) yang menjadi pembangkang di peringkat negeri, menafikan kekal menyokong kerajaan GRS pimpinan Hajiji.
Pengerusi PH Sabah, Datuk Christina Liew mengesahkan gabungan itu tidak menyokong Hajiji lagi sebagai KM dan menjelaskan semua tADUNnya tidak mengisytiharkan sokongan mereka kepada mana-mana parti melalui akuan berkanun sejak 2020, merujuk kepada sokongan mereka kepada Datuk Seri Shafie Apdal ketika itu.
Semalam, spekulasi semakin hangat mengatakan bakal berlaku perubahan kerajaan negeri Sabah apabila Warisan dikatakan sudah memiliki majoriti untuk membentuk kerajaan baharu.
Bagaimanapun, sidang media yang didakwa dijadualkan berlangsung semalam oleh Shafie untuk mengumumkan kerajaan baharu di sebuah hotel di Kota Kinabalu ditangguhkan tanpa sebarang makluman terkini.
Mengulas perkembangan politik di Sabah, penganalisis politik dari Universiti Putra Malaysia (UPM) Profesor Datuk Dr Jayum Jawan mencadangkan DUN negeri itu dibubarkan bagi membolehkan PRN diadakan jika situasi terus bergolak.
Menurutnya situasi politik di Sabah berbeza daripada Sarawak kerana negeri itu tiada parti dominan.
Beliau berkata, meskipun mempunyai dua gabungan yang hampir sama, kesetiaan antara parti dalam Gabungan Parti Sarawak (GPS) lebih kuat dan kukuh berbanding parti gabungan GRS.
Katanya, ini kerana rasa setia dalam GPS lebih kuat berdasarkan gandingan pakatan yang lama, berbanding GRS yang baru ditubuhkan dengan parti-parti kecil yang tidak mempunyai sejarah antara satu sama lain.
“Politik memang mencari kuasa, jadi saya tidak harian dalam situasi sekarang semua pihak merasakan ada sedikit sokongan…cuba tarik orang itu orang ini kerana mahu naik berkuasa.
“Cara terbaik bubar semula dan laksana pilihan raya supaya ada pihak mendapat jumlah kerusi mantap membawa kepada pemerintahan lebih stabil, jadi boleh tumpu kepada pembangunan dan bukannya bimbangkan rancangan menjatuhkan (kerajaan negeri).
“Ini supaya rakyat menentukan. Jadi masalahnya apabila ada calon itu menang daripada satu pakatan, tetapi meninggalkan pakatan itu dan bergabung dengan orang lain…seolah mengkhianati mandat undi pemilih yang mengundi calon itu untuk berada dalam parti (semasa dipilih),” katanya menurut Utusan.
Ketika ini, blok kerajaan yang dianggotai GRS dan Barisan Nasional (BN) di peringkat negeri masih berada dalam kedudukan selesa dengan 53 kerusi daripada 79 kerusi DUN Sabah, termasuk enam ADUN Dilantik serta ADUN yang mesra kepada kerajaan.
Blok pembangkang pula hanya mempunyai 26 kerusi namun, tujuh pemimpin Pakatan Harapan (PH) Sabah telah menyatakan sokongan terhadap Hajiji untuk terus mentadbir Sabah sehingga habis penggal.