Lebih baik adakan PRU daripada PRN Johor untuk stabilkan kerajaan: Shafie

Langkah mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tidak akan memberi kestabilan kerajaan, sebaliknya dengan mengadakan pilihan raya umum (PRU) baharu keadaan politik negara akan tenang.

Presiden Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal menyifatkan langkah UMNO membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor untuk mengadakan PRN tidak akan dapat memberi kestabilan politik kepada negara, malah tidak menolak kemungkinan beberapa PRN selepas ini juga bakal diadakan.

“Jika niat untuk menstabilkan kerajaan, bubar saja Parlimen dan adakan PRU15. Mengapa hanya bubar di peringkat negeri?” soalnya dipetik laporan media semasa berkempen di Pontian semalam.

Shafie berkata UMNO menjadi punca kepada keadaan huru-hara politik negara apabila perpecahan dalaman parti itu yang menyebabkan rakyat kini diheret demi kepentingan kuasa Kluster Mahkamah yang semakin dihimpit masa kerana pendakwaan puluhan kes yang dihadapi individu tertentu.

“Kami sedar ada pihak yang menyatakan mereka (Barisan Nasional) mahu kerajaan stabil. Sejauh manakah anda yakin akan ada kerajaan stabil bila mengundi BN? Pernahkah anda lihat apa yang berlaku dalam UMNO?

“Ia berpecah dalam kumpulan. Kita ada kluster mahkamah, kluster yang mahu jadi Perdana Menteri, kluster yang mahu kekal sebagai Perdana Menteri.

“Tiada jaminan negara ini akan stabil, kita sudah melihatnya. BN memerintah untuk tempoh lama, tetapi apa berlaku kepada negara? Saya tahu ada pembangunan, tapi ia bukan kerana parti, ia kerana kepimpinan parti,” katanya lagi yang juga bekas Naib Presiden UMNO itu.

Beliau juga membidas kerajaan negeri yang dipimpin UMNO sebelum DUN dibubarkan sebelum ini yang didakwanya gagal menyelesaikan permasalahan rakyat yang terjejas akibat hilang punca pendapatan.

“Rakyat Johor tersekat di Singapura, hidup di sana. Selama dua tahun, mereka tidak dapat pulang berjumpa anak mahupun pasangan. Ini tidak dapat diselesaikan kerajaan negeri.

“Namun, pada masa sama, ada beberapa pemimpin dalam kerajaan (persekutuan) yang pergi bercuti di Istanbul, Dubai dan London, dan ada yang mengadakan mesyuarat di serata dunia,” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR