
Menurut Hamzah permohonan itu diterima sebelum PRU-15. Gambar Facebook Hamzah Zainuddin
Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainudin mendedahkan ada sekurang-kurangnya lima lagi parti politik yang menyatakan hasrat untuk menyertai gabungan itu.
Katanya, permohonan rasmi daripada parti-parti berkenaan antaranya di Sabah dan Semenanjung telah diterima sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan.
Namun menurut calon Paralimen Larut itu permohonan untuk menyertai PN masih dalam proses penelitian bagi memberi laluan dan fokus kepada pilihan raya terlebih dahulu.
“Ada banyak, lebih daripada lima. Di Sabah ada, Semenanjung pun ada. Parti-parti ini sudah tulis surat mahu bersama kita, saya tahulah sebab saya Setiausaha Agung.
“Tetapi disebabkan sudah sampai pilihan raya, saya nasihatkan presiden dan pemimpin-pemimpin PN untuk tunggu.
“Kalau kita umum cepat sangat, mereka kata kita ambil semua. Ambil semua tu maknanya macam ‘sakau’, jadi kita tak mahu ambil semua,” katanya sempena Majlis Ramah Mesra calon Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Larut di Dewan Majlis Daerah Selama, Sungai Bayor di Larut pada Selasa (8 November 2022), lapor Sinar Harian.
Pada 2020, PN dibentuk menerusi gabungan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), PAS dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) sebelum disertai Parti Maju Sabah (SAPP) dan Gerakan.