Layakkah UMNO ambil kredit kejayaan PICK diperkenal PN?

Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan dilaporkan menasihatkan Perikatan Nasional (PN) tidak mengambil kesemua kredit di atas kejayaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Ini kerana katanya yang bekerja keras untuk menjayakan PICK dan penjagaan prosedur operasi standard (SOP) adalah menteri UMNO, bukannya menteri daripada PN.

Keinginan UMNO untuk ‘menumpang sekaki’ hasil kejayaan pelaksanaan PICK dalam memerangi Covid-19, sudah dijangka lebih awal, sebagaimana parti itu mendakwa hutang peneroka Felda yang dimansuh kerajaan PN dan Muhyiddin berjumlah RM8.3 bilion adalah disebabkan desakan mereka. Berita berkaitan

Mengulas lanjut, Ahmad berkata:

“Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, sebelum ini dilantik Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), yang juga Menteri Pertahanan contohnya, beliau yang bertungkus lumus dalam penjagaan prosedur operasi standard (SOP).

“Selain Ismail Sabri, menteri UMNO, termasuk Datuk Seri Adham Baba, yang pernah dilantik Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin (Menteri Sains Teknologi dan Inovasi), selain Datuk Seri Hishammuddin Hussein, yang kini dilantik Menteri Kanan Pertahanan.

“Semuanya adalah menteri dari UMNO yang buat kerja berat dan susah, daripada jaga SOP sampailah kesihatan dan sains teknologi. Segala kelulusan kewangan di Dewan Rakyat juga majoritinya diluluskan Ahli Parlimen dari UMNO.

“Mana ada menteri dari Bersatu yang buat kerja seberat dan seteruk itu. Jadi, kena berpada-padalah dalam membuat sebarang dakwaan mengenai jasa mereka.”

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas perasmian Karnival Kerjaya Jamin Kerja di Dewan Jubli Intan, di Pontian, hari ini.

Bagaimanapun kenyataan Ahmad Maslah itu telah memperlihatkan kegagalan menteri yang disebut oleh beliau itu, dalam menangani pandemik Covid-19 apabila kerajaan PN dipersalahkan oleh pemimpin tertinggi UMNO sendiri.

Untuk rekod, Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri Malaysia kelapan pada 1 Mac 2020 tatkala tujuh kes positif Covid-19 dilaporkan pada hari ini.

Pada 9 Mac 2020 beliau mengumumkan barisan Kabinetnya, termasuk daripada UMNO, seperti dinyatakan Ahmad. Bermulalah usaha keempat-empat menteri UMNO yang disebut Ahmad itu untuk memerangi Covid-19 di mana pada hari itu 18 kes baharu dilaporkan.

Muhyiddin melancarkan PICK pada 24 Februari 2021, setelah bekalan vaksin Covid-19 mula dikeluarkan dan diedarkan ke seluruh dunia. Pada hari itu, jangkitan Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 3,545 kes.

Menjelang Julai 2021, kebanyakan negara di dunia, termasuk Malaysia, mula berdepan kemuncak penularan Covid-19 disebabkan varian Delta yang turut menyebabkan hospital hampir penuh dengan pesakit, manakala kematian juga meningkat.

Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Bersepadu (PKRC), mula dibuka di seluruh negara bagi menempatkan pesakit Covid-19 dalam usaha mengurangkan beban dihadapi kebanyakan hospital.

Namun, pada masa sama telah mula kedengaran suara-suara yang menyatakan kerajaan PN gagal menangani penularan wabak itu hingga menyebabkan ramai yang kehilangan nyawa.

UMNO juga menuding jari menyalahkan PN dan Muhyiddin kerana gagal mengawal pandemik.

3 Ogos 2021 – ketika keempat-empat menteri yang disebut Ahmad itu masih memegang portfolio sama – Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan parti itu menarik balik sokongan kepada Kerajaan PN dan Muhyiddin.

Antara alasan yang diberikan ialah kegagalan kerajaan menangani pandemik Covid-19 secara berkesan sehingga mencetuskan keresahan dan kemurungan serius rakyat. Kerajaan PN juga dituduh menyalahgunakan darurat sehingga memudaratkan rakyat dan ekonomi negara.

Lalu, jika benarlah seperti kata Ahmad hari ini bahawa empat menteri UMNO – Ismail Sabri, Adham Baba, Khairy dan Hishammuddin – yang bekerja keras menjayakan PICK dan usaha memerangi Covid-19, nampaknya merekalah yang gagal kerana mereka yang bertanggungjawab, bukannya Muhyiddin atau kerajaan PN seperti didakwa oleh Zahid.

Usaha keempat-empat mereka nampaknya gagal mengekang penularan Covid-19, tetapi UMNO tidak menyalahkan mereka sebaliknya menuding jari kepada PN dan Muhyiddin.

Kemudian, Ismail Sabri mengangkat sumpah Perdana Menteri pada 21 Ogos 2021 ketika jangkitan baharu harian pada hari itu mencecah 22,262 kes. Lima hari kemudian negara mencatat jumlah kes harian tertinggi sebanyak 24,599 kes.

Rekod jangkitan harian itu pecah pada Februari dan Mac tahun ini, dengan tertinggi direkodkan semalam (5 Mac 2022) sebanyak 33,406 kes baharu.

Tetapi, suara-suara sumbang mengatakan ‘kerajaan gagal’ sudah tidak kedengaran daripada UMNO, kerana yang mengetuai kerajaan Malaysia sekarang ini adalah orang UMNO.

Adakah layak untuk UMNO juga mengambil kredit atas kejayaan PICK, dan pada masa sama tidak mengakui keempat-empat menteri yang disebut Ahmad itu juga menjadi penyebab kerajaan PN dituduh gagal?

BERITA BERKAIT
POPULAR