
Ahmad ketika menerima sumbangan untuk dana PRN, malam tadi. Gambar Perhubungan PAS Kedah
Pihak lawan dilihat cuba merosakkan imej bersih PAS dan Perikatan Nasional (PN) dengan melemparkan pelbagai tuduhan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal berlangsung tidak lama lagi.
Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Datuk Ahmad Yahaya berkata antara tuduhan dilemparkan termasuklah PN berbelanja mewah pada PRU-15 lalu kerana menerima dana daripada syarikat judi dan tauke-tauke besar.
“Malah PAS dikatakan menyogok pengundi hingga jumlah diperolehi parti ini tinggi. Kita pun tak tahu daripada mana mereka dapat angka itu tetapi yang pasti semua itu hanyalah fitnah dilempar terhadap PAS.
“Kita melihat bagaimana musuh politik sedaya upaya mencari perkara yang boleh melemahkan PAS kerana dalam PRU lalu, pengundi sudah membuat penilaian mengenai latar belakang Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).
“Kedua-dua gabungan itu memiliki pelbagai beban hingga akhirnya rakyat melihat hanya PN saja yang bersih, berintegriti dan menawarkan tawaran hebat, prihatin serta stabil,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Dana PRN PAS Kedah, malam tadi.
Majlis makan malam itu berjaya mengutip hampir RM500,000 termasuk daripada pihak-pihak yang sudah menyatakan komitmen namun tidak dapat hadir.
Beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Kedah berharap majlis tersebut akan dihebahkan di semua platform termasuk di media-media sosial sebagai salah satu cara untuk menjawab tuduhan dan fitnah yang dilemparkan terhadap PAS-PN.
“Kita buat secara terbuka sedangkan sebelum ini, sudah berapa banyak kutipan dana dibuat secara sembunyi-sembunyi? Hakikatnya di rumah-rumah terdapat tabung buluh, tin, pelbagai jenis bekas disediakan semata-mata untuk menyumbang kepada parti dan terbukti sumbangan itu menyebabkan PAS boleh berbelanja sewaktu PRU lalu.
“Saya anjurkan untuk kita hebahkan majlis ini. Biar kita sebut malam ini ada yang mewakafkan tanah, ada sumbangan daripada Yayasan Amal Kedah, wakil rakyat dan Dewan Pemuda untuk memberi galakan kepada penyokong agar turut serta memberi sumbangan,” katanya.
Sebelum ini, Kerajaan Negeri Kedah mengumumkan penutupan operasi semua premis judi dan loteri di negeri itu.