Lawan Covid-19 lagi penting, Menteri UMNO tolak usul tak percaya

Naib Presiden UMNO yang juga Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Ahli-ahli Parlimen UMNO dan Barisan Nasional (BN) sepakat tidak akan menyokong usul undi tidak percaya sekiranya dikemukakan apabila sidang Dewan Rakyat dibuka semula, sebaliknya akan menumpukan usaha memerangi pandemik Covid-19.

Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam satu kenyataan bersama Ahli-ahli Parlimen UMNO dan BN hari ini, berkata mereka menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu agar sidang Dewan Rakyat dibuka secepat mungkin serta memperkasa langkah kawalan penularan Covid-19.

Ahli Parlimen Bera berkata mereka menyokong Parlimen dibuka dan berharap sidang akan memberi tumpuan kepada isu yang dihadapi rakyat dalam mendepani pandemik Covid-19.

“Kami bersetuju agar Parlimen bersidang semula mengikut Peraturan Mesyuarat sedia ada atau mengikut apa-apa kesesuaian pindaan yang diperlukan.

“Bagi menjunjung titah Tuanku supaya suhu politik dapat diredakan maka kami setuju untuk tidak menyokong usul undi tidak percaya sekiranya dikemukakan.

“Ahli-ahli Parlimen daripada parti UMNO dan BN juga sepakat untuk terus mendukung Pelan Pemulihan Negara yang telah dibentangkan oleh kerajaan sebagai suatu usaha dalam memperkasa langkah-langkah kawalan penularan wabak COVID-19 dalam negara,” katanya.

Ismail yang juga Menteri Kanan Keselamatan berkata menteri dan timbalan menteri daripada UMNO serta BN akan komited sepenuhnya dalam melaksanakan tugas- tugas, terutama membabitkan tugas dan portfolio yang berkait secara langsung dalam mengekang penularan Covid-19, pelaksanaan vaksinasi serta pemulihan ekonomi rakyat dan negara.

“Apa yang pasti keutamaan Ahli-ahli Parlimen daripada parti UMNO dan BN adalah demi kelangsungan hidup rakyat dengan fokus kepada keselamatan dan kesejahteraan di samping masa hadapan negara Malaysia,” katanya

Pada 16 Jun lalu Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan pandangan bahawa persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin selain meminta suhu politik diturunkan.

POPULAR