
Dokumen yang ditandatangani Datuk Zuraida Kamaruddin didedahkan Presiden PBM Datuk Larry Sng, hari ini. - Gambar FB Larry Sng
Krisis dalaman Parti Bangsa Malaysia (PBM) semakin panas apabila Presidennya Datuk Larry Sng hari ini (26 Disember 2022) mendedahkan surat ditandatangani Datuk Zuraida Kamaruddin, berhubung terma dan syarat dicapai menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lalu.
Pada masa sama, Larry Sng berkata Zuraida, yang juga bekas ahli Parlimen Ampang dan mendakwa dirinya adalah Presiden PBM yang sah, cuba memutarbelitkan fakta dan mengelirukan orang ramai berhubung kepimpinan parti itu.
Turut sama berbuat demikian ialah Ahli Dewan Undangan Negeri Lembah Jaya, Selangor, Haniza Talha, sehingga menyebabkan kedua-duanya digantung keahlian mereka, kata Larry Sng dalam kenyataan ringkas di Facebooknya malam ini (26 Disember 2022).
“Zuraida dan Haniza akan cuba memutar belit fakta dan mengelirukan orang ramai. Itulah yang menyebabkan mereka digantung di tempat pertama.
“Nasib baik untuk PBM, saya mempunyai bukti untuk mengingatkan mereka tentang apa yang telah mereka persetujui. Fakta tidak berbohong,” kata Larry Sng sambil memuat naik dokumen berkenaan.
Antara lain, dokumen itu menyatakan peletakan jawatan dua pemimpin PBM iaitu Setiausaha Agung Nor Hizwan Ahmad, dan Ketua Penerangan Zakaria Hamid.
Dokumen ditandatangani pada 1 November lalu – 18 hari sebelum PRU-12 – dan tidak akan ditunjukkan kepada media serta orang awam, turut menyatakan Zuraida memperakui Larry Sng sebagai presiden parti, pelantikan jawatankuasa disiplin serta pelantikan ahli Majlis Tertinggi pada 30 Oktober 2022.
Selain itu, dokumen berkenaan menyatakan Larry Sng akan menandatangani watikan calon PBM bagi PRU-15 yang diberikan Zuraida.
Sementara itu, memetik Vibes, Larry menawarkan peluang kepada Zuraida untuk berundur secara bermaruah atau berdepan penyingkiran automatik mulai tengah malam ini jika gagal menjawab surat tunjuk sebab yang diberikan.
“Mungkin mereka perlu berehat seketika atau berundur daripada politik.
“Pengundi mereka sudah menolak mereka, sebab itu mereka kehilangan wang deposit pada pilihan raya umum ke-15. Tiada siapa yang berminat dengan pendapat mereka lagi,” kata Larry Sng.
Pada PRU-15 lalu, Zuraida dan Haniza kalah di kerusi Parlimen Ampang dan Hulu Selangor, selain hilang wang pertaruhan.
Terdahulu, Haniza yang juga Timbalan Presiden PBM sekali lagi mendesak Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) menyiasat dengan teliti kesahihan Larry Sng yang juga Ahli Parlimen Julau sebagai presiden parti.
Haniza, berkata kepimpinan tertinggi parti “menolak sepenuhnya” Sng sebagai presiden dan meminta siasatan terperinci dilakukan oleh ROS.
“Kami mendesak pihak ROS menyiasat kesahihan Larry Sng sebagai presiden selepas Persidangan Agung Tahunan memutuskan Datuk Zuraida Kamaruddin mengambil alih jawatan tersebut,” katanya.