
Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama anak muridnya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi di Istana Negara.
Datuk Seri Anwar Ibrahim nampaknya rimas susulan artikel penangguhan pengumuman barisan Kabinet kerajaan Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN) yang diterbikan akhbar berpengkalan di Singapura.
Perdana Menteri seakan bergelut untuk memuaskan hati semua parti politik dalam kerajaan campurannya itu, khususnya parti dipimpin anak muridnya yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Bagi tidak mahu dilihat lemah dalam mengendalikan kerajaan PH-BN, Anwar memberi jaminan isu pembentukan Kabinet akan diselesaikan pada masa terdekat dan mungkin diumumkan sehari dua lagi.
“Kita terpaksa gegas menyelesaikan masalah dengan semua parti komponen kerana harus segerakan untuk bentuk barisan Jemaah Menteri supaya diperkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah dan dapat umum dalam masa dua atau tiga hari ini.
“Buat masa ini keseluruhan hampir beres dan saya akan perkemas kini. Lepas itu akan meneliti dan menelaahnya,” katanya dipetik laporan FMT hari ini.
Dalam pada itu, Anwar berkata perlu bekerja lebih dan memikul tanggungjawab yang berat selepas dilantik menjadi PM Ke-10 baru-baru ini.
“Sudah minta jadi Perdana Menteri, kena kerja lebih.
“Jadi, perdana menteri kerja lebih kurang orang lain, tidak boleh. Sebab itu kena kerja lebih sikit,” katanya lagi.
Terdahulu, akhbar The Straits Times berpengkalan di Singapura mendedahkan Anwar terpaksa menangguhkan pengumuman senarai menteri dalam pentadbirannya selepas terdapat pertikaian isu melibatkan lantikan Zahid yang memeningkan kepalanya.
Malah, laporan itu juga berkata setakat ini tiada majlis angkat sumpah barisan menteri kerajaan PH-BN dijadualkan berlangsung pada minggu ini dan mungkin diadakan pada minggu depan.
Anwar juga dilaporkan masih belum menyerahkan senarai penuh barisan Kabinetnya kepada Yang di-Pertuan Agong, kata The Straits Times lagi yang memetik sumber dalaman parti itu.
Setiausaha akhbar Anwar dalam laporan sama juga dipetik memberitahu bosnya hanya dijadualkan berada di pejabatnya sepanjang Khamis, tanpa maklumat tersedia mengenai pengumuman Kabinet.
“Keadaan sekarang tidak berubah kerana begitu banyak kumpulan yang berbeza melobi,” kata seorang pegawai PKR dalam laporan itu.