
Sayap Bersekutu Bersatu membuat laporan polis terhadap Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan.
Sayap Bersekutu Bersatu hari ini mengambil tindakan dengan membuat laporan polis terhadap Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan ekoran kenyataannya sebelum ini yang didakwa menghina agama Hindu dengan mengaitkan kavadi sebagai satu beban.
Laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul oleh Ketua Penerangan Sayap Bersekutu Bersatu, S Gobi Krishnan selepas Mohamad atau dikenali Tok Mat itu seakan tidak mempunyai rasa bersalah dan meminta maaf terhadap kenyataannya sebelum ini.
“Saya nak beritahu Tok Mat, berdiam diri tidak akan selesaikan masalah.
“Mari ke depan. Kalau Tok Mat tak mahu, kita sendiri akan berjumpa dia. Kita minta pihak polis ambil tindakan,” katanya semasa sidang media selepas membuat laporan polis.
Dalam wawancara dengan Asia Times baru-baru ini, Mohamad menyebut tentang “kavadi besar” untuk menjelaskan kekalahan UMNO semasa Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.
Mohamad juga dipercayai keliru mengenai sambutan Deepavali dengan Thaipusam apabila menyentuh mengenai “kavadi”
“UMNO dikalahkan pada PRU 2018 bukan kerana UMNO tidak menjaga rakyat tetapi UMNO mempunyai “kavadi besar”, kamu tahu kavadi?
“Apabila orang Hindu merayakan Deepavali. Mereka membawa kavadi besar ini. Bagasi besar ini,” kata Mohamad dipetik dalam audio rakaman wawancara tersebut.
Dalam pada itu, S Gobi menggesa polis supaya menyiasat Mohamad di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan kerana menyebabkan ketidaktenteraman awam dan perasaan benci sesama kaum dan agama serta Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya sekali.
“Saya akan serahkan bukti video dan audio kenyataan beliau,” katanya.
Mengulas lanjut, S Gobi memuji pemimpin-pemimpin dalam Bersatu yang lebih memahami dan menghormati kaum bukan Melayu.
“Pemimpin tertinggi UMNO seperti ini, saya pelik apa nak jadi.
“Saya nak puji pemimpin-pemimpin Melayu dalam Bersatu, mereka lebih memahami dan menerima kami.
“Saya minta pemimpin UMNO ini belajar daripada Bersatu,” katanya.