‘Langkah Zahid’

Seminggu selepas Perhimpunan Agung UMNO 2020 (PAU), seruan Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang mahu melihat peletakan jawatan Menteri dan Timbalan Menteri UMNO tidak disahut, malah dibalas dengan tuba apabila beliau pula dicabar untuk mengadakan pemilihan parti dengan segera.

Untuk rekod, tempoh pucuk pimpinan UMNO sedia ada bakal berakhir Jun ini, jika mengikut perlembagan parti pemilihan perlu diadakan pada tahun ini juga iaitu selepas berakhir mandat tiga tahun.

Beberapa kenyataan pimpinan UMNO yang datang daripada ‘Kluster Menteri’ tidak menyenangkan Zahid. Kumpulan ini seakan tidak lagi menghormati Presiden yang dianggap liabiliti kepada UMNO dan mendesak supaya pemilihan parti disegerakan.

Kemelut dalaman kini seakan tidak dapat dipulihkan lagi, masing-masing saling membalas kecaman satu sama lain.

Ada berpandangan Zahid dilihat mempunyai kelebihan kerana menguasai majoriti ahli dalam Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO. Difahamkan juga sokongan akar umbi di kalangan ketua-ketua bahagian juga tidak berbelah-bahagi kepadanya.

Sumber memberitahu Agenda Daily, jawatan Presiden yang disandang Zahid akan dipertahankannya sama ada pemilihan akan dilaksanakan atau tidak. Jawatan tersebut adalah satu-satunya senjata terpenting dimilikinya untuk mempertahankan diri daripada lawannya luar dan dalam parti.

Zahid ada memberitahu kepada mereka yang rapat sekelilingnya, jawatan Presiden itu tidak akan dilepaskan, sekiranya mereka mengharapkan episod Zahid direhatkan akan berulang, ia adalah sangkaan yang salah sama sekali.

Jadi, apakah ‘Langkah Zahid’ untuk berdepan musuh luar dan dalam yang sedang dihadapinya?

Perbicaraan kes Zahid yang bakal diputuskan pada Julai nanti.

Agenda Daily merisik beberapa pemimpin atasan dan akar umbi untuk mengetahui strategi yang akan dilancarkan untuk menangkis serangan bertubi-tubi terhadap dirinya.

Hukuman menggantung budak Tan Sri Annuar Musa yang juga Timbalan Ketua Bahagian UMNO Putrajaya, Tun Faisal Ismail Aziz selama enam tahun adalah amaran pertama bahawa jangan sesiapa berani lagi mencabar Zahid.

Atau boleh jadi tindakan itu juga sebagai amaran buat Annuar yang dilihat lantang menyanggah kehendak Zahid. Cumanya, Zahid takut untuk mengambil tindakan terhadap Annuar atas sebab tertentu.

Sumber mendedahkan pilihan terakhir yang dimiliki Zahid adalah memecat semua Menteri dan Timbalan Menteri UMNO yang masih memegang jawatan dalam Kabinet Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Bagaimanapun ia bukan satu jalan mudah, Zahid perlu menyakinkan ahli MKT untuk bertindak sedemikian dan sebagai Presiden kuasa veto yang dimilikinya perlu diaktifkan dengan segera.

Jelas sumber, bukti kenyataan terbuka oleh segelintir Menteri UMNO yang mengecam dan mengkritiknya sudah dikumpulkan untuk menghalalkan pemecatan mereka.

Sememangnya langkah tersebut berisiko tinggi, kemungkinan UMNO akan tempang kerana Kluster Menteri ini juga memiliki pengaruh serta pengikut yang besar dalam parti, namun Zahid berkeyakinan perkara tersebut dapat ditangani sama seperti berlaku ketika era bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Zahid beranggapan Najib sebagai mentor politiknya, bekas presiden UMNO itu juga lah sekarang yang banyak menjadi penasihat kepada Zahid dalam banyak soal strategi politik, daripada hubungan kerjasama dengan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim sehingga lah melibatkan kerjasama dengan DAP.

Bagi Najib pula, layanan kepada Zahid adalah tidak sekadar menjadi ‘budak suruhan’ yang hanya akan mengikut percaturan politik yang sudah direncana bersama Anwar. Perkara ini sudah menjadi rahsia terbuka dan Zahid juga sudah menyedari akan perihal ini.

Perkara pertama Zahid dijangka buat selepas dikecam teruk sejak berakhirnya PAU adalah memecat Menteri dan Timbalan Menteri yang lantang terhadap dirinya.

Langkah kedua, Zahid juga akan menggunakan kuasanya dengan menggugut mereka yang tidak bersama menyokongnya untuk tidak menandatangani watikah surat calon dalam Pilihan Raya Umum (PRU) nanti.

Kebiasaannya surat tersebut perlu ditandatangani Setiausaha Agung parti. Oleh sebab itu Datuk Seri Ahmad Maslan diletakkan memegang jawatan penting tersebut bagi memastikan mereka yang tidak sebulu dengan Presiden dan Najib tidak tercalon pada pilihan raya nanti.

Semua ini sudah disusun atur oleh Zahid dan Najib. Struktur dalaman parti ini masih dikuasai oleh mereka berdua.

Sekarang, strategi ini sudah disusun atur dengan rapi dan hanya tinggal Zahid menunggu lampu hijau daripada Najib sahaja untuk memulakan ‘Langkah Zahid’.

BERITA BERKAIT
POPULAR