Langgar SOP: Menteri Kanan Pertahanan patut mohon maaf kepada rakyat

Alasan diberikan ialah susah untuk dikawal apabila membenarkan program politik diadakan. Itu jawapan Menteri Kanan Keselamatan Datuk Seri Hishammuddin Hussein apabila beliau sendiri melanggar prosedur operasi standard (SOP).

Beliau reda dikompaun dan mengakui kesalahannya apabila melanggar SOP ketika program pelancaran Briged MIC Johor, semalam.

Susulan pelanggaran SOP itu, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin mengarahkan pegawai Kementerian Kesihatan (KKM) supaya mengeluarkan kompaun kepada Menteri Besar Johor Datuk Hasni Mohammad, Hishammuddin dan Presiden MIC Tan Sri S A Vigneswaran.

Namun adakah beliau sebagai Menteri yang turut mempengerusikan Mesyuarat Kuartet Menteri Covid-19 Malaysia, terlupa kepada nasihat yang sering dilemparkan kepada rakyat, dan apa yang pernah dikatakan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebelum ini?

Janganlah dek kerana program itu ada kaitan dengan gerak kerja Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, maka begitu mudah menggadai nilai kerusi menteri kanan.

Apa lagi yang rakyat boleh harapkan kepada seorang menteri kanan yang dipertanggungjawabkan menjaga keselamatan negara – Kementerian Pertahanan – tetapi turut melanggar disiplin atau protokol yang ditetapkan?

Bagi dirinya, memang mudah untuk mengaku kesilapan. Denda yang tidak seberapa ibarat ‘kacang’ sahaja, bila-bila masa boleh dibayar.

Tetapi yang jelas, rakyat melihat bagaimana sikap seorang menteri dalam Kabinet Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang ‘membawa lumpur hingga semuanya terpalit’.

Sebelum memasuki dewan tempat majlis itu diadakan, Hishammuddin sepatutnya menunjukkan ketegasan menegur penganjur berhubung perhimpunan melanggar SOP itu – sesuai dengan peranannya sebagai Menteri Pertahanan Malaysia, sebuah kementerian dipenuhi individu yang berpegang kukuh kepada disiplin.

Malah, dari segi moral beliau boleh saja tidak masuk ke dalam dewan selagi SOP tidak dipatuhi.

Dalam mengakui kesalahannya, Hishammuddin yang juga Bendahari BN berkata beliau sedia berhadapan dan bertanggungjawab atas kesalahannya itu.

Tapi perlu juga diingat bahawa Malaysia bukan seperti di Britain, Jepun atau Korea Selatan di mana menteri akan meletak jawatan jika melakukan kesalahan sama ada jenayah atau kesalahan moral.

Teringat dahulu UMNO menggesa Tan Sri Muhyiddin Yassin meletak jawatan kerana didakwa gagal menangani Covid-19, sedangkan hingga sekarang belum ada negara di dunia lagi yang sifar virus yang mula menular sejak akhir 2019.

Di Malaysia lain, walaupun Islam agama Persekutuan, kesalahan moral sering kali diketepikan. Pemimpin yang melakukan kesalahan moral sudah tidak ada sifat malu pada diri, keluarga dan masyarakat.

Tetapi dalam hal ini, bukan Hishammuddin sahaja yang patut dipersalahkan.

Hasni juga bersalah dari segi moral kerana melanggar undang-undang yang dikuatkuasakan mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Keghairahan untuk menang PRN Johor tidak menghalalkan untuk undang-undang dilanggar apa lagi jika membabitkan nyawa rakyat, dan dilakukan pula oleh individu bertaraf menteri kanan dan menteri besar.

Tetapi demikianlah UMNO yang mempertaruhkan nyawa rakyat untuk mengadakan PRN demi mengejar kuasa dan kedudukan.

Untuk rekod, jangkitan harian Covid-19 di Johor kerap kali lebih tinggi berbanding negeri-negeri lain, kecuali Selangor.

Sepanjang bulan lalu, kes tertinggi pernah dicatat ialah pada 27 Januari iaitu sebanyak 805 kes, sedangkan negeri-negeri lain hanya mencatat di bawah 400 kes, kecuali Selangor yang merekodkan 1,355 kes.

Sejak awal bulan ini pula kes harian tertinggi direkodkan ialah pada 12 Februari lalu iaitu sebanyak 3,238 kes, dan sehingga semalam Johor merekodkan 3,943, kedua tertinggi berbanding negeri-negeri lain selepas Selangor, serta 282,427 kumulatif kes positif.

Daripada jumlah kes aktif itu seramai 19,634 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 512 ditempatkan di PKRC; 1,039 dimasukkan ke hospital; dan 28 dirawat di ICU, dengan 21 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Sebanyak 63 kluster Covid-19 masih aktif di negeri itu dengan 25 daripadanya melibatkan kluster pendidikan; tempat kerja (24); kumpulan berisiko tinggi (sembilan); masing-masing dua kluster komuniti dan keagamaan; serta satu kluster import.

BERITA BERKAIT
POPULAR