Laman Facebook Asyraf Wajdi pun ‘penyumbang’ umat Islam buat dosa

Masih diam terkaku susulan kenyataan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) semalam yang menyokong skim pengeluaran i-Citra ditamatkan, Ketua Pemuda UMNO Asyraf Wajdi Dusuki, sebaliknya hanya meminta pihak berkuasa tempatan memastikan sampah daripada harta benda mangsa banjir yang musnah dibersihkan segera.

Menerusi kenyataan di Facebook beliau hari ini, Asyraf Wajdi berkata sampah sarap yang bertimbun perlu segera dibersih bagi mengelak mudarat lain yang boleh terhasil, seperti wabak penyakit.

Semakan Agenda Daily di Facebook beliau bagaimanapun mendapati netizen lebih banyak mengulas berkaitan pengeluaran one-off i-Citra KWSP yang diperjuangkan Pemuda dan Asyraf Wajdi, tetapi tidak dipedulikan kerajaan pimpinan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Sehingga satu tahap Ketua Pemuda UMNO itu dilihat terikut-ikut dengan rentak netizen yang mengulas isu i-Citra, sehingga menasihatkan pengguna media sosial tidak membuat poster memfitnahnya.

“Buat poster fitnah macam ni mudah je, letak gambar dan caption kenyataan palsu. Apa2pun terima kasih atas pahala yang disumbangkan. Alhamdulillah

“Baca status sebelum ni. Ikuti semua kenyataan saya di FB untuk dapat pendirian saya yang betul dan tepat,” katanya menjawab ulasan seorang pengguna media sosial di Facebook beliau.

Namun, Agenda Daily mendapati laman Facebook Asyraf Wajdi turut menjadi penyambung kepada ‘pergaduhan’ sesama Islam dan Melayu setelah masing-masing ‘kata mengata’ hingga mengaitkan pihak-pihak lain.

Sehingga berita ini ditulis Asyraf Wajdi belum mengulas kenyataan dibuat KWSP semalam, sedangkan isu one-off RM10,000 skim i-Citra KWSP itu menjadi perjuangan utama beliau dan Pemuda UMNO.

Dengan harapan Perdana Menteri Malaysia baharu daripada UMNO boleh mengikut telunjuknya, Asyraf Wajdi meletakkan harapan tinggi kepada orang ramai bahawa pengeluaran one-off itu akan dilaksanakan.

Namun, bukan sahaja one-off itu ditolak oleh Ismail Sabri, malah skim i-Citra juga tidak disambung.

Semalam, satu lagi tamparan hinggap di pipi Asyraf Wajdi apabila KWSP memberi sokongan supaya pengeluaran khas i-Citra tidak dilanjutkan sehingga tahun depan. Berita berkaitan 

Tiga hari lalu, Perdana Menteri berkata kerajaan tidak berhasrat meluluskan pengeluaran wang KWSP berjumlah RM10,000 biarpun ada permintaan agar ia dipertimbangkan bagi tujuan meringankan beban mangsa banjir yang terjejas.

Ismail Sabri berkata kerajaan juga tidak berhasrat meluluskan pengeluaran i-Citra bagi kali kedua setelah skim berkenaan berakhir bulan ini.

Namun, semalam Asyraf Wajdi yang mahu menjadi ‘hero’ one-off i-Citra RM10,000, seperti menyindir Perdana Menteri dengan menganggap kemudahan pinjaman yang disediakan menerusi beberapa agensi, termasuk Bank Simpanan Nasional (BSN) dan Tekun, terutama kepada mangsa banjir, akan menambah beban hutang orang ramai.

Menerusi kenyataan ‘Alternatif kepada i-Citra KWSP: Tambahan bantuan atau galakkan berhutang’, Asyraf Wajdi menyifatkan kemudahan pinjaman yang diumumkan Ismail Sabri sebagai inisiatif berhutang yang tidak menyelesaikan masalah. Berita berkaitan

Apapun, penyokong Asyraf Wajdi terus menuduh Perdana Menteri mengikut telunjuk Kementerian Kewangan, tanpa mempersoalkan tugas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Suffian Hamdan yang kini dilantik sebagai Pengarah Ekonomi di Pejabat Perdana Menteri.

BERITA BERKAIT
POPULAR