
Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia di Putrajaya.
Nampaknya serangan bermotif politik terhadap parti Bersatu tidak terhenti, kini seorang lagi pemimpin parti itu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk membantu siasatan.
Pemimpin parti Bersatu menjadi sasaran siasatan SPRM berhubung dana parti tersebut, tetapi tiada tindakan diambil terhadap laporan yang dibuat membabitkan perbelanjaan parti dalam Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.
Menurut laporan media, SPRM sudah menahan Bendahari Bersatu, Datuk Mohd Salleh Bajuri.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, ketika dihubungi BH mengesahkan penahanan Mohd Salleh kelmarin, namun tidak mengulas lanjut.
Laporan berita itu juga berkata Salleh ditahan ditahan ketika hadir memberikan keterangan di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya dan direman selama dua hari.
“Sepatutnya tempoh reman tamat hari ini, namun ia dijangka dilanjutkan untuk siasatan lanjut bergantung kepada keperluan siasatan,” kata sumber dilaporkan BH.
Berdasarkan rekod, ini penahanan kedua membabitkan pemimpin parti itu selepas bekas Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan dan Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Segambut, Adam Radlan Adam Muhammad, masing-masing dituduh kes rasuah di mahkamah berkaitan projek Jana Wibawa.
Wan Saiful mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan yang didakwa terhadapnya di mahkamah sebelum ini.
Terdahulu, SPRM pada Januari dilapor membekukan beberapa akaun milik Bersatu susulan siasatan kes itu.