
UMNO bukan sahaja berselingkuh dengan janda sendiri iaitu PKR, tetapi kini berlaku curang pula dengan DAP.
Ibarat ‘meludah ke langit, jatuh ke muka sendiri, demikianlah kenyataan Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan berhubung kerjasama antara PAS dan Bersatu yang disifatkannya sebagai ‘perselingkuhan’ dan ‘kecurangan’.
Sebaliknya, ‘kecurangan’ yang diletakkan ke atas PAS apabila bersama Bersatu di dalam Perikatan Nasional (PN) disenangi ramai, berbanding ‘kecurangan’ UMNO yang kini tidur sebantal dengan DAP, sehinggakan bukan sahaja orang Melayu marah, malah ahlinya sendiri mengeji pemimpin dan parti mereka.
Malah, UMNO juga mempunyai paling ramai ‘janda’ yang kini sama-sama ‘berselingkuh’, namun kecurangan UMNO apabila berpeluk cium dengan DAP menyakiti akar umbi parti itu sendiri.
Mana lebih teruk antara kecurangan PAS dengan Bersatu atau UMNO dengan DAP, boleh dilihat dengan tindak balas ahli parti masing-masing.
Mengulas kenyataan Mohamad atau Tok Mat ketika perasmian serentak sayap UMNO di Pusat Dagangan Dunia di ibu negara pada Jumaat (11 Januari 2023) lalu, Pemuda PN berpendapat parti ‘keramat’ itu wajar melihat diri sendiri apabila bercakap mengenai hubungan dalam Pakatan Harapan (PH).
Ketua Pemuda PN Ahmad Fadhli Shaari turut menegur UMBO supaya bermuhasabah diri kenapa semakin hari parti itu semakin ditolak oleh rakyat, khususnya dalam kalangan anak muda – generasi baharu yang akan menjadi tiang kepada kebangkitan negara.
Beliau turut mengingatkan Tok Mat Hasan bahawa UMNO juga kini berselingkuh dengan ‘janda’ sendiri apabila kini bekerjasama dengan PKR – parti serpihan UMNO yang ditubuhkan setelah Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat.
“Ingatkan bila parti sendiri ditolak oleh pengundi, Perhimpunan Agung (PAU) dijadikan medan muhasabah (diri). Rupanya tidak.
“Bahkan dijadikan medan menghentam PAS. Datuk Seri jagalah parti sendiri dulu, buat post mortem kenapa semakin hari semakin ditolak.
“Kalau nak ambil kiasan ‘janda’ sekalipun, PKR itu bukankah ditubuhkan oleh pihak yang dipecat dari UMNO? Hari ini UMNO sokong ‘jandanya’ sendiri?,” katanya merujuk kepada pembentukan PKR setelah Anwar dipecat daripada kerusi Timbalan Presiden UMNO.
Untuk rekod, Anwar dipecat daripada kerusi Timbalan Presiden pada 3 September 1998, susulan pelbagai tuduhan yang dihadapinya, termasuk salah laku. Sehari sebelum itu, Anwar turut dipecat daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri oleh Tun Dr Mahathir Mohamad.
Ahmad Fadhli mengulas kenyataan Tok Mat Hasan bahawa UMNO sukar bekerjasama dengan PAS kerana parti itu tidak pernah setia atau ikhlas, malah tanpa segan berselingkuh atau curang dengan parti serpihan UMNO.
“Tanpa segan, mereka berselingkuh dengan semua parti, terutamanya ‘si janda’ UMNO. Lihat sahaja rekod mereka, dengan DAP dan PKR. Akhirnya, semua membawa haluan masing-masing,” kata Tok Mat Hasan.
Mengulas lanjut, Ahmad Fadhli yang juga Ketua Pemuda PAS dan ahli Parlimen Pasir Mas mengingatkan bahawa semangat setia kawan PAS dan Bersatu ditunjukkan sehingga mengangkat Naib Presiden UMNO sebagai Perdana Menteri.
Sebaliknya, kata beliau UMNO kini memuji dan melambung DAP.
“PAS dan Bersatu sehingga ke peringkat mengangkat Naib Presiden UMNO sebagai Perdana Menteri sebelum ini dikatakan tidak setia. DAP pula dilambung dan dipuji.
“Teruskanlah Datuk Seri, ambillah yang mana-mana sempat bak kata Tuan Presiden.. sebelum parti bersemadi selama-lamanya Insya-Allah,” katanya.