
Parti Bersatu.
Pendakwaan bermotif politik masih diteruskan kerajaan campuran Pakatan Harapan (PH)-UMNO selepas seorang lagi pemimpin utama pembangkang dikatakan bakal dihadapkan ke pendakwaan di mahkamah pada masa terdekat.
Spekulasi berlegar selepas kerajaan campuran yang dikritik hebat kebelakangan ini, terbaharu isu surat tular Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) semalam kepada UMNO, mahu mengheret pemimpin utama Bersatu didakwa ke mahkamah.
Untuk rekod, surat RoS kepada UMNO tular semalam hangat diperkatakan apabila RoS didakwa sememangnya memutuskan bahawa keputusan dibuat semasa Perhimpunan Agung 2022 lalu untuk tidak mempertandingkan pemilihan Presiden dan Timbalan Presiden adalah tidak sah.
Menurut laporan media, pemimpin utama Bersatu akan ditahan dan dihadapkan ke mahkamah paling awal esok.
Sumber parti pula mendedahkan sebarang kemungkinan boleh berlaku pada masa terdekat ini dan persediaan sudah diambil bagi berdepan pendakwaan melibatkan pemimpin utama Bersatu.
Pemimpin Bersatu menjadi sasaran pendakwaan bermotif politik oleh agensi pihak berkuasa, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan akaun parti juga sudah dibekukan sehingga hari ini.
Pada 20 Februari, Datuk Wan Saiful Wan Jan yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor serta seorang lagi pemimpin parti ditahan dan didakwa SPRM.
Sebarang langkah untuk mendakwa pemimpin utama Bersatu dijangka akan memanaskan lagi suhu politik negara.
Pemimpin Perikatan Nasional (PN) sebelum ini memberi amaran pentadbiran Datuk seri Anwar Ibrahim akan melakukan penahanan secara besar-besaran bagi memburuk-burukkan pemimpinnya menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri di mana lima daripadanya mempunyai jumlah pengundi Melayu yang besar.
Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), kerajaan Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN) hilang undi Melayu kepada PN.
Agenda Daily masih cuba mendapakan maklum balas daripada Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki mengenai spekulasi terbaharu ini.