Ku Li nak hidupkan semula UMNO lama, dakwa UMNO baru kini dah hilang taring

Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah mengadakan mesyuarat dengan beberapa veteran UMNO dengan hasrat menghidupkan semula ‘UMNO lama’ yang diisytiharkan tidak sah oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada tahun 1988.

Menurut Tengku Razaleigh atau Ku Li, hasrat itu tercetus kerana beliau mendakwa UMNO kini telah kehilangan taring dan ia boleh menyebabkan parti berkenaan akan menghadapi kesukaran pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

“Hasrat kami untuk menghidupkan semula adalah agar Melayu kembali bersatu.

“UMNO sekarang pecah. Akhir-akhir ini banyak orang merasakan bahawa UMNO baru ini sudah hilang taring. Dan mungkin susah menghadapi pilihan raya.

“Keadaan sudah berlainan. Jadi, kita harap dapat kita ajak semua pihak bersama mewujudkan perpaduan di kalangan orang Melayu,” katanya yang dipetik dalam laporan Malaysiakini.

Terdahulu, mesyuarat yang diadakan semalam di kediamannya di Kuala Lumpur bermula 3.30 petang itu turut dihadiri beberapa pemimpin dari kalangan Pemuda UMNO.

Antara yang hadir adalah bekas timbalan menteri kesihatan Tan Sri Dr Suleiman Mohamed, bekas timbalan menteri pembangunan usahawan Tan Sri Mohd Khalid Yunus dan bekas timbalan menteri pertahanan Datuk Zainal Abidin Zin.

Selain itu, Ku Li juga berkata, UMNO hari ini tidak sama dengan UMNO yang diwujudkan pada tahun 1946.

“UMNO lama tak pernah mati. UMNO yang ada hari ini ditubuhkan pada tahun 1988. UMNO yang kami bincangkan tadi ditubuhkan tahun 1946 yang dikatakan telah diharamkan.

“UMNO tak pernah diharamkan. Padahal, UMNO tidak pernah melanggar undang-undang Persekutuan. Didakwa sebagai membatalkan pendaftaran sebenarnya tak pernah berlaku,” tambahnya lagi.

Katanya, sambutan untuk mengaktifkan semula ‘UMNO lama’ turut menggalakkan.

“Kami telah membuat beberapa mesyuarat sebelum ini. Sambutannya sangat mengalakkan.

“Kami akan membuat beberapa kajian sebelum menghidupkan semula UMNO lama,” katanya sambil beliau dinasihatkan agr tidak perlu berjumpa Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) untuk mengaktifkan semula UMNO lama.

Untuk rekod, pada Jun 1987, satu tindakan guaman sivil telah difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur oleh 11 ahli UMNO di mana mereka telah memohon suatu relif termasuk suatu pengisytiharan bahawa pemilihan calon yang menang semasa Perhimpunan Agung UMNO pada April 1987 sebagai bertentangan dengan Perlembagaan parti, tidak sah dan dianggap terbatal, serta tidak mempunyai kesan.

Selepas perbicaraan hampir tujuh bulan, pada 4 Februari 1988 Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengisytiharkan bahawa UMNO sebagai pertubuhan yang tidak sah kerana wujudnya beberapa cawangan yang tidak didaftarkan dan dianggap tidak sah di bawah Akta Pertubuhan 1966.

Susulan itu, presiden UMNO ketika itu Tun Dr Mahathir Mohamad mendaftar parti baru yang dikenali sebagai ‘UMNO baru’.

Sementara itu, bekas exco Pemuda UMNO, Wan Muhammad Azri Wan Deris turut kelihatan di kediaman Tengku Razaleigh, walaupun tidak menyertai mesyuarat itu hari ini.

“Saya sokong UMNO lama dihidupkan semula,” kata Wan Muhammad Azri.

BERITA BERKAIT
POPULAR