
Veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah.
Langkah UMNO membuat keputusan untuk meletak Naib Presidennya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai “poster boy” pada pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) menerima kritikan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah yang menyifatkan ia sebagai tidak wajar.
Veteran UMNO atau dikenali Ku Li itu berkata langkah UMNO menamakan Ismail Sabri sebagai calon Perdana Menteri jika memenangi PRU-15 dilihat tidak mampu kemenangan Barisan Nasional (BN) kerana dakwanya tidak mempunyai aura yang boleh menarik sokongan orang ramai.
“Apabila keputusan diumumkan Datuk Seri Ismail Sabri dipilih sebagai ‘poster boy’ untuk memimpin kempen UMNO dalam pilihan raya yang akan datang, kita harap sekurang-kurangnya orang di peringkat presiden ataupun orang yang mempunyai aura yang boleh membawa obor perjuangan UMNO.
“Supaya dapat menarik perhatian orang ramai dengan program yang agak menarik boleh memberi sensation kepada apa yang nak diperjuangkan oleh UMNO.
“Tetapi di sebaliknya. Nampaknya apa (poster boy) yang di ditonjolkan oleh UMNO menerusi keputusan Majlis Tertinggi itu tidaklah sebagaimana yang diharapkan,” katanya dipetik dalam satu wawancara di saluran Youtube, Politik Kini.
Untuk rekod, MT UMNO membuat keputusan pada 14 April lalu dengan menamakan Ismail Sabri sebagai “poster boy” parti dalam PRU-15 nanti.
Menurutnya, UMNO memerlukan seorang tokoh yang dapat menjadi ikon atau idola kepada rakyat untuk membawa kemenangan BN pada PRU-15 tetapi sebaliknya yang berlaku kini apabila rakyat seakan tidak berminat dengan “poster boy” tersebut.
“Jadi itu sebab lah sambutan di peringkat bawah dingin. Tak ada siapa notice of the keputusan. Bagi saya itu keputusan parti, kita hormatlah tetapi apakan daya kalau kita nak hadapi pilihan raya dengan keputusan-keputusan seumpama ini.
“Kita nak seseorang yang mempunyai yang mempunyai ikonik potensi yang boleh menjadi idola lebih-lebih lagi kepada pengundi-pengundi baru… yang boleh bawa idea idea yang bernas yang boleh mengubah keadaan,” katanya lagi.
Dalam keadaan ketaktentuan ekonomi dan politik yang tidak stabil ketika ini, Tengku Razaleigh berkata negara memerlukan seorang yang mempunyai tokoh kepimpinan untuk membawa negara keluar daripada krisis.
“The problem yang kita hadapi di Malaysia ini bukan soal Mr A ganti Mr B atau B ganti Mr C atau Mr Z.
“Kita nak leadership, krisis yang besar bukan krisis ekonomi, bukan krisis sosial, bukan krisis kerana pandemik Covid-19… Banyak orang beritahu saya dan saya setuju ialah kerana leadership krisis yang kita hadapi,” ujarnya lagi.
Isu kepimpinan negara penting menurut Tengku Razaleigh kerana ia akan dapat dijadikan idola orang ramai serta disanjung rakyat, malah juga di mata dunia.
“Tetapi kita nak supaya dia (Perdana Menteri) ini menjadi idola, idaman orang ramai dan orang yang disanjung oleh rakyat… apatah lagi luar negara, kita mahu permodal-permodal dan pemimpin luar negara juga menghormati pemilihan yang dibuat oleh kita. That is leadership,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu, pentadbiran diterajui Ismail Sabri kini bukan sahaja berdepan asakan daripada Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi supaya PRU-15 disegerakan tetapi keadaan ekonomi negara juga dalam keadaan tidak menentu ekoran kejatuhan mata wang ringgit terburuk bagi tempoh 24 tahun.