Krisis Melaka: Zahid beri isyarat senario sama boleh berlaku terhadap PM?

Adakah Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebenarnya sedang memberi isyarat kepada Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bahawa senario krisis politik di Melaka boleh juga berlaku terhadap pentadbirannya?

Di Melaka, krisis politik yang berlaku berpunca daripada dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO yang menarik sokongan terhadap Ketua Menteri yang juga dari UMNO, ia juga tidak mustahil boleh berlaku di peringkat kerajaan pusat.

Jika melihat kepada tindak-tanduk Presiden UMNO itu semasa menarik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang dipimpin Tan Sri Muhyiddin Yassin, kebarangkalian tersebut episod sama boleh berulang kepada Ismail Sabri sekiranya kehendak mereka yang dikatakan kumpulan ‘kluster mahkamah’ tidak dituruti.

Harus diingat, penarikan sokongan 15 Ahli Parlimen (MP) UMNO sebelum ini menjadi punca kepada kejatuhan kerajaan PN dan skrip sama digunakan di Melaka, namun situasi yang janggal berlaku kerana ia melibatkan pertembungan sesama wakil rakyat UMNO.

Kata-kata Zahid dalam Dewan Rakyat semalam mempunyai maksud tersirat apabila mengatakan kesediaannya melihat kerajaan negeri Melaka dijatuhkan dan memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri diadakan.

“Begitu juga yang kita perhatikan sedang berlaku di negeri Melaka sekarang ini, saya harap perkara itu tidak akan menular untuk ahli-ahli Dewan Rakyat nanti,” katanya semasa mengulas krisis di Melaka dalam sidang Dewan Rakyat semasa membahaskan Rancangan Malaysia Ke-12.

Zahid dilihat sedang bermain kata-kata yang seakan memberi amaran kepada Ismail Sabri bahawa nasib sama akan menimpanya jika beberapa MP UMNO menarik sokongan terhadapnya seperti yang berlaku di Melaka.

Untuk rekod, Zahid kini sedang terhimpit dengan kes mahkamah yang sedang perbicaraan dan berkemungkinan keputusan muktamad akan diputuskan dalam masa terdekat.

Kes mahkamah yang paling dekat sedang dihadapi Zahid ketika ini adalah bersabit 47 pertuduhan iaitu 12 pecah amanah jenayah, lapan pertuduhah rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan berpuluh-puluh juta ringgit milik Yayasan Akal Budi.

Pihak pendakwaan sedang mengemukakan hujahan di Mahkamah Tinggi ketika ini.

Yang peliknya, Zahid langsung tidak cuba kerajaan Melaka daripada jatuh ke pihak pembangkang, malah seakan-akan merelakan tindakan dua ADUN UMNO yang menarik sokongan.

Ismail Sabri perlu melakukan sesuatu sekiranya tidak mahu episod di Melaka berlaku terhadap kerajaan pimpinannya ketika ini, jika tidak berkemungkinan beliau akan jadi PM tersingkat dalam sejarah negara.

Satu lagi krisis politik bukan sesuatu yang baik kepada rakyat yang sudah cukup susah kehidupan mereka ketika ini ekoran krisis kesihatan yang melanda negara.

Rakyat mahu hidup dengan normal secepat mungkin dan mencari pendapatan untuk menampung keluarga, mereka tidak lagi menghiraukan ahli politik yang masih membicarakan hal kuasa demi kepentingan politik diri sendiri.

Ketika negara sedang memasuki fasa pemulihan, satu lagi krisis politik hanya akan menyebabkan segala perancangan untuk membantu rakyat akan terjejas.

Atau UMNO sebenarnya sudah tidak lagi menghiraukan hal rakyat dan mahu menjadi dominan tanpa memikirkan soal kebajikan rakyat lagi, atau UMNO kini lebih memikirkan diri sendiri berbanding hal rakyat?

BERITA BERKAIT
POPULAR