
Bekas Ahli EXCO Melaka, Datuk Norhizam Hassan Baktee tidak akan memulangkan kenderaan rasmi selagi bekas EXCO lain tidak berbuat demikian kerana mendakwa Melaka sudah tidak mempunyai wakil rakyat.
Ketua Menteri (KM) sementara Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali mengingatkan bekas Exco, Datuk Norhizam Hassan Baktee supaya memulangkan aset kerajaan, termasuk kenderaan yang digunakan.
Katanya ketiga-tiga mereka meletak jawatan serta-merta melalui surat kepada Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam, bukannya dipecat
“Jadi mereka bukan lagi Exco dan segala kemudahan, semua (termasuk) kereta perlu dipulangkan kepada Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) mengikut peraturan dan prosedur.
“Mereka yang letak jawatan, dan sudah tidak lagi bersama kerajan negeri yang ada. Saya ‘caretaker’ itu sahaja, yang mana kalau tidak diperlukan dan minta saya turun (lepas jawatan), bila-bila masa saya boleh turun. Apa masalah?,” soalnya kepada wartawan.
Namun Sulaiman tidak memaklumkan sama ada bekas EXCO lain juga diarah memulangkan semua aset kerajaan kerana mereka bukan lagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) atau Ahli Exco negeri.
Isnin lalu, kerajaan UMNO Melaka tumbang susulan tindakan tindakan empat ADUN, termasuk dua daripada parti itu, menarik sokongan mereka, menyebabkan Ali Rustam membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan melantik Sulaiman sebagai ‘KM caretaker’.
Tiga lagi yang menarik sokongan mereka ialah bekas ADUN UMNO Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron; bekas ADUN UMNO Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan; dan bekas ADUN Bersatu Telok Mas, Datuk Noor Effandi Ahmad.
Sebelum ini, Norhizam mempertikaikan tindakan mengarahkan beliau memulangkan kenderaan rasmi itu sedangkan arahan sama tidak dikeluarkan kepada Exco lain memandangkan semua mereka kini bukan lagi wakil rakyat setelah DUN dibubarkan.