Krisis Melaka: PH heret kerajaan sementara ke mahkamah

Pakatan Harapan (PH) Melaka akan mencabar keabsahan kerajaan sementara negeri itu di mahkamah selewat-lewatnya minggu depan susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN).

Pengerusi PH negeri, Adly Zahari berkata dokumen untuk mencabar keabsahan kerajaan sementara itu sedang pada peringkat akhir disiapkan oleh peguam sebelum difailkan di Mahkamah Tinggi.

Menegaskan PH tidak mengiktiraf kerajaan sementara itu, beliau mempersoalkan bagaimana Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali, yang sudah kehilangan majoriti di DUN boleh menasihati Yang di-Pertua Negeri Tun Mohd Ali Mohd Rustam, supaya membubarkan DUN, lapor BH

“PH tidak mengiktiraf kerajaan sementara ini. Kami akan mencabar keabsahan kerajaan sementara di mahkamah secepat mungkin,” katanya hari ini.

Adly yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Katil mendakwa, pembubaran DUN dibuat tanpa mengambil kira pandangan kumpulan yang memiliki sokongan majoriti ADUN.

DUN Melaka dibubarkan pada 4 Oktober lalu dengan pengumuman mengenainya dibuat Speaker DUN, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, dengan mendakwa ia dipersetujui oleh Yang di-Pertua Negeri.

Mengulas lanjut, Adly berkata, jika Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka diadakan, jentera PH sudah bersedia untuk merampas semula negeri itu daripada Barisan Nasional (BN).

“Jentera di seluruh negeri akan digerakkan sebaik saja ada perkembangan lanjut mengenai PRN,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mengalu-alukan jika empat bekas ADUN yang menarik sokongan kepada Sulaiman, menyertai parti komponen dalam PH.

Bekas ADUN Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron, dan tiga lagi, iaitu Datuk Nor Azman Hassan (Pantai Kundor), Datuk Noor Effandi Ahmad (Telok Mas) dan Datuk Norhizam Hassan Baktee (Pengkalan Batu), dilaporkan bertemu Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim, minggu lalu.

BERITA BERKAIT
POPULAR