Kos PRU-15 guna belanja ratusan juta, tapi UMNO tetap mahu ia disegerakan

UMNO mahu pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) disegerakan diadakan pada tahun ini, gesaan itu disuarakan oleh Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Ironinya, pemimpin UMNO sebelum ini membangkitkan isu berhubung kesusahan rakyat tetapi semasa ucapan perasmian sayap parti itu malam tadi, Mohamad nampaknya seakan mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk membubarkan Parlimen bagi memberi laluan PRU-15 diadakan.

Mohamad dalam ucapannya dengan penuh yakin berkata UMNO akan kembali berkuasa dan kembali menjadi dominan sekiranya PRU-15, ia mengambilkira keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Sarawak dan Johor yang menyaksikan pembangkang kalah teruk dan ia bakal memberi kelebihan kepada gabungan Barisan Nasional (BN).

Menguatkan hujah UMNO semakin kuat, Mohamad juga berkata semua parti lain kini berada dalam keadaan lemah dan tidak sekuat mereka, ia sekaligus memberi keyakinan untuk merampas semua kerusi yang mereka tewas semasa PRU-14 lalu.

“PKR kalah semua kerusi yang mereka tandingi di (Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Sarawak dan memenangi hanya satu kerusi di (PRN) Johor. DAP kehilangan banyak kerusi di Melaka dan kalah hampir semua kerusi ditandingi di Sarawak. Di Johor pula, mereka hanya memenangi 10 daripada 14 kerusi.

“Perikatan Nasional (PN) pula dalam semua PRN, hanya bergantung kepada jentera PAS dan tidak menjadi pesaing handal lagi digeruni. Di Johor, PN sudah kita jinakkan dengan hanya menang tiga kerusi,” katanya berucap di PWTC.

Ujarnya lagi, UMNO perlu mengambil kesempatan daripada perpecahan parti pembangkang yang tidak ada persefahaman dan langkah mengadakan PRU-15 lebih awal akan memberikan banyak kelebihan kepada mereka.

“Semua berlumba dengan cita-cita sendiri. Semua ghairah bertanding tanpa mengukur keupayaan sebenar. Ada yang tidak punya ‘struktur’.

“Hanya berpaut pada seorang dua personaliti, itu pun tanpa pengalaman. Tanpa kesatuan, mereka tidak boleh mengalahkan kita. Ketidaksepaduan pembangkang adalah strategik kepada UMNO,” katanya lagi.

Mohamad menegaskan UMNO tidak boleh menunggu lebih lama untuk mengadakan PRU-15 kerana ia kelak akan menyebabkan kemarahan rakyat semakin membuak-buak.

“Keempat, prestasi sebagai kerajaan sangat bergantung kepada pelbagai faktor dalam dan luaran. Dengan memuncaknya krisis Ukraine dan Russia, tergugatnya ‘Europe security order’, ketidakpastian mengenai kemungkinan adanya ancaman pandemik baru, ketegangan hubungan Amerika Syarikat (AS) dan China serta pembukaan perlahan sempadan sehingga menjejaskan ‘global supply chain’, prestasi ekonomi Malaysia sangat terdedah kepada semua kegawatan ini.

“Harga barang juga semakin naik mendadak, tidak terkawal dan tidak masuk akal. Kemarahan rakyat membuak-buak. Semakin lama dibiarkan, semakin ramai yang akan mengkambinghitamkan UMNO dan BN,” katanya lagi.

Menyedari kemenangan bergaya UMNO dalam beberapa siri PRN yang diadakan, Mohamad berkata momentum perlu diteruskan dan yakin kemenangan besar bakal memihak kepada mereka.

“Apakah dengan menangguhkan PRU, BN akan berada dalam keadaan yang lebih selesa untuk menang? Jika demikian, apakah rumus untuk perkara sedemikian berlaku?.

“Momentum apa lagi BN perlu tunggu untuk menghadapi pilihan raya apabila ‘the feel-good feeling’ terhadap kerajaan waktu ini sudah mula beransur pudar? Apakah jaminan CSA dan MOU yang kita meterai sekarang ini akan terus bertahan dalam keadaan politik yang sangat dinamik ini?” katanya.

Bagaimanapun, Mohamad tidak menyentuh berhubung kos untuk mengadakan PRU-15 yang dijangka menelan ratusan juta duit rakyat yang terpaksa digunakan demi semata-mata kepentingan politik kumpulan tertentu.

Untuk rekod, pada PRU-14 sebanyak RM500 juta dibelanjakan dan dianggarkan sekiranya PRU mengejut diadakan berkemungkinan ia akan menelan kos sebanyak RM1.2 bilion.

Peningkatan kos mengadakan PRU-15 berbanding sebelum ini sememangnya sudah dijangka, ia mengambilkira pertambahan pengundi baharu dan juga disebabkan kos prosedur operasi standard (SOP) yang perlu dipraktikkan pada musim pandemik Covid-19 ketika ini.

BERITA BERKAIT
POPULAR