Kos PRN Johor RM90 juta dibazir untuk mendengar cerita ‘kencing’ Najib

Nyata kos RM90 juta lebih untuk mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bukan sebenarnya bertujuan untuk kestabilan politik seperti yang didakwa UMNO, sebaliknya ia dibazirkan untuk mendengar cerita ‘kencing’ Datuk Seri Najib Razak yang sudah dijatuhi hukuman.

Bayangkan berapa banyak rakyat Johor dapat dibantu dengan RM90 juta lebih daripada dibazirkan untuk mengadakan pilihan raya yang sia-sia kerana yang disajikan adalah penipuan dan manipulasi oleh bekas Perdana Menteri, Najib.

Sejak bermula kempen PRN Johor sehingga tinggal sehari lagi baki berkempen, pemimpin UMNO khususnya bekas Presidennya, Najib hanya bercakap soal dirinya sendiri dan cuba menunjukkan tidak bersalah walaupun realitinya sudah pun berstatus banduan cuma tidak lagi menjalani hukuman penjara.

Dengan kempen selfienya dan menonjolkan diri kononnya masih lagi diterima rakyat di Johor, Najib tanpa segan silu sanggup menipu berhubung kes jenayah dan perbicaraan yang dihadapinya di mahkamah.

Bermula dengan perbahasan di Dewan Rakyat, Najib mengeluarkan kononnya wang rakyat tidak digunakan untuk membayar hutang syarikat pelaburan yang diciptanya sendiri, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan kemudiaan cerita dongeng tersebut dijaja sebagai modal politik dalam PRN Johor.

Najib nampaknya sudah hilang kawalan apabila memanipulasi fakta walhal satu dunia mengetahui kes kecurian wang 1MDB tersebut sebenarnya ditanggung oleh kerajaan dan disorok merata-rata pelosok dunia sehingga kerajaan terpaksa mengambil langkah sendiri untuk membawanya pulang.

Tidak ada lagi kemaluan dan keimanan pada Najib apabila sanggup meneruskan penipuan demi penipuan demi kepentingan politik diri sendiri.

Lebih malang, Najib apabila dipanggil Parlimen untuk memberikan penjelasan berhubung kenyataan yang menyelewengnya baru-baru ini tidak mengendahkan langsung Dewan Rakyat seolah-olah dirinya masih seorang Perdana Menteri (PM) yang mempunyai kuasa untuk bertindak sewenang-wenangnya.

Begitulah sikap Najib semasa menjadi PM sebelum ini, berlagak seolah-olah dirinya berkuasa dan sanggup melakukan apa sahaja sehingga rakyat kena ‘kencing’ hidup-hidup.

Nampaknya semakin jelas PRN Johor yang diadakan kali ini adalah semata-mata demi kepentingan seorang individu yang sudah disabit hukuman dan bukan untuk rakyat Johor, sekiranya perkara ini berterusan tidak mustahil satu lagi pilihan raya umum (PRU) juga akan diadakan demi untuk membebaskan kumpulan Kluster Mahkamah.

Terbaharu, Najib mahu memutarbelit fakta berhubung isu Felda membabitkan penghapusan hutang peneroka dengan mengatakan kononnya ia disebabkan desakan UMNO menyebabkan Tan Sri Muhyiddin Yassin mengambil langkah tersebut.

Peneroka yang dahulu dianggap deposit tetap UMNO dan Barisan Nasional (BN) dibimbangi akan berubah angin, ia menyebabkan Najib terpaksa menyeleweng fakta dengan pelbagai fakta palsu dan tidak tepat.

Najib perlu ingat, dibawah pentadbirannya tidak ada sekali usaha diambil untuk membantu peneroka yang dibelenggu hutang sebaliknya ia semakin bertambah setiap tahun sehingga ada yang tidak lagi mampu membayar hutang mereka.

Penyokong-penyokong Najib membela hujah boss mereka tersebut kononnya peneroka menikmati banyak durian runtuh dan bonus sepanjang pentadbiran BN sebelum ini tetapi realitinya peneroka terpaksa menanggung hutang yang besar akibat daripada penyenaraian FGV dan beberapa pelaburan yang merugikan.

Najib mengajak untuk berbahas, tidak pasti apa lagi yang hendak dibahas dan dikencingnya lagi walaupun hakikatnya Felda rugi saban tahun akibat kecurian dan salah urus tadbir yang berlaku dalam agensi tersebut.

Yang pastinya, kos RM90 juta untuk mengadakan PRN Johor bukanlah seperti yang digambarkan untuk mewujudkan kestabilan politik tetapi lebih untuk membebaskan kumpulan Kluster Mahkamah yang tidak lagi mempunyai masa lebih lama dan hanya menunggu hukuman disebalik tirai besi.

BERITA BERKAIT
POPULAR