Konsep ‘Keluarga Malaysia’ lebih baik daripada ‘Malaysian Malaysia’ DAP

PAS tetap tegas menolak konsep ‘Malaysian Malaysia’ yang diperjuang DAP walaupun secara teorinya ia berasaskan perpaduan, sebaliknya konsep ‘Keluarga Malaysia’ lebih kepada penyatuan dengan semangat kekeluargaan.

Pada masa sama, PAS juga menolak tindakan pihak tertentu yang mengundang bantuan kuasa asing bagi melakukan perubahan tergesa-gesa dan mendapatkan kuasa pemerintahan.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan parti itu mengambi teladan daripada Rasulullah SAW dengan memulakan langkah menyatukan umat Islam melalui pembentukan Muafakat Nasional (MN).

“MN menyatukan PAS bersama UMNO dan Bersatu di Semenanjung. Setelah itu, diikuti dengan gagasan yang lebih besar bersama parti-parti di Sarawak, Sabah dan parti bukan Islam yang tidak ekstrem atas nama Perikatan Nasional (PN).

“Sehingga akhirnya berjaya mengambil alih kuasa secara demokrasi berparlimen,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, PAS menolak teori perpaduan berasaskan konsep ‘Malaysian Malaysia’ yang menghapuskan rupa bangsa yang diciptakan oleh Allah Pencipta alam, dan juga melupakan peristiwa jus soli yang telah ditelan zaman.

‘Malaysian Malaysia,’ iaitu konsep yang memperjuangkan kesamarataan antara kaum secara liberal, yang pernah diperjuangkan oleh parti PAP (People’s Action Party) ketika Singapura berada dalam Malaysia, dan diteruskan oleh DAP.

“Marilah kita bersatu pada titik persamaan dengan semangat Keluarga Malaysia. Janganlah bertindak melampau dalam perbezaan sesama kita, tetapi sentiasa berbincang dengan penuh kebijaksanaan mencari kebenaran dalam perkara yang berbeza dan bertelingkah antara satu sama lain.

“Kita janganlah sekali-kali mengundang kuasa asing untuk membuat perubahan yang gopoh, semata-mata bagi mendapatkan kuasa. Laksana merawat masalah dengan racun yang membunuh,” katanya.

Sebelum ini, bekas Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan, Leftenan Jeneral (B) Datuk Mohd Salleh Ismail mendedahkan ada pemimpin politik Malaysia yang menerima bantuan dan sokongan moral individu dan pertubuhan di luar negara, terutama Amerika Syarikat (AS) dalam meneruskan karier politik mereka.

Tanpa mendedahkan sama ada pemimpin politik terbabit menerima sokongan kewangan, beliau berkata intipan yang dilakukan mendapati pemimpin politik berkenaan turut melakukan pertemuan dengan individu berpengaruh di luar negara.

BERITA BERKAIT
POPULAR