
Sin Chew Daily melaporkan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali mungkin berdepan undi tidak percaya pada sidang Dewan Undangan Negeri bermula 25 Julai depan yang digerakkan oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, yang telah beberapa kali dinafikannya.
Desas-desus kembali muncul menggugat politik dalaman UMNO yang mentadbir kerajaan negeri Melaka, apabila Ketua Menteri (KM) Datuk Seri Sulaiman Md Ali dilapor berkemungkinan berdepan undi tidak percaya.
FMT yang memetik laporan Sin Chew Daily melaporkan Sulaiman mungkin berdepan undi tidak percaya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan bermula 25 Julai depan.
Akhbar itu memetik sumber sebagai berkata Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berhasrat mengambil alih jawatan daripada Sulaiman.
Rauf yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara, sebelum ini dikaitkan dengan usaha merampas jawatan itu, tetapi beliau sudah beberapa kali menafikannya.
Pertelingkahan berhubung pelantikan Sulaiman sebagai KM Melaka tercetus selepas Barisan Nasional (BN) menang besar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 20 November tahun lalu.
Malah, tanpa menunggu pagi ini, ADUN Lendu itu tergesa-gesa mengangkat sumpah jawatan KM ke-13, kira-kira jam 1 pagi 21 November lalu.
Majlis angkat sumpah diadakan di hadapan Yang di-Pertua Negeri Tun Mohd Ali Rustam, beberapa jam setelah BN diumum menang 21 daripada 28 kerusi DUN.
Ia merupakan kali kedua Sulaiman dilantik sebagai KM Melaka selepas pertama kali dilantik ke jawatan berkenaan pada 9 Mac 2020, menggantikan Adly Zahari yang dilantik KM Melaka ke-11 pada 11 Mei 2018.
Namun, spekulasi terus bertiup kencang apabila ada usaha oleh pihak tertentu di dalam UMNO untuk ‘menggulingkan’ Sulaiman.
Menurut laporan itu, beliau dikatakan mendekati beberapa wakil rakyat kerajaan untuk meraih sokongan bagi mengusulkan undi tidak percaya terhadap Sulaiman.
Rauf kini ialah Exco perindustrian, pelaburan dan pembangunan usahawan Melaka.
Pada 21 Mei lalu, Sulaiman menafikan melepaskan jawatannya selepas seorang ketua bahagian UMNO mendakwa ADUN Lendu itu dipaksa menandatangani surat peletakan jawatan.
Sebelum ini, UMNO Bahagian Alor Gajah mencadangkan Sulaiman dilantik sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri dan Pengerusi BN Melaka yang baharu menggantikan Rauf.
Ketua UMNO bahagian itu Datuk Rospandi Leman dilaporkan berkata langkah itu untuk mengukuhkan kepimpinan UMNO dan BN di peringkat bahagian serta negeri sekiranya KM adalah individu yang sama memegang kedua-dua jawatan tersebut.