Kluster Menteri UMNO belum sedia lepas jawatan Kabinet

Dua menteri UMNO dalam Kabinet Tan Sri Muhyiddin Yassin belum bersedia melepaskan jawatan sebagaimana disaran Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah menyifatkan gesaan supaya menteri UMNO meletak jawatan adalah pandangan peribadi dan bukan keputusan yang ditetapkan oleh parti itu.

“Itu pandangan dia (Tengku Razaleigh) tetapi dalam parti kita buat keputusan beradasarkan parti.

“Keputusan parti adalah apa yang diusulkan presiden tadi, itulah kebersamaan MP-MP BN dalam kerajaan yang ada sekarang sehingga pembubaran Parlimen,” kata Reezal Merican kepada pemberita ketika melawat Laman Media Perhimpunan Agung UMNO 2020 (PAU) di PWTC, hari ini.

Senada dengan pandangan Reezal Merican, Shamsul Anuar pula berkata pandangan Tengku Razaleigh adalah tidak wajar kerana ia akan mengundang perpecahan dalam parti.

“Saya adalah orang parti jadi saya jarang mengutarakan pandangan peribadi bila parti sudah ada pandangan sebab saya tidak mahu dilihat parti memberi pandangan yang boleh membawa kepada perpecahan walaupun saya ada pandangan sendiri, tapi saya utarakan dalam MKT (Majlis Kerja Tertinggi),” katanya.

Bagaimanapun, Shamsul Anuar berkata sedia menuruti perintah pucuk pimpinan parti sekiranya sudah ada ketetapan supaya semua menteri dan timbalan menteri melepaskan jawatan Kabinet.

Mengulas mengenai gelaran Menteri UMNO yang diskasifikaskan sebagai ’kluster menteri’ dalam Kabinet, Shamsul Anuar yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) berkata, tiada label kluster menteri dan kluster mahkamah dalam UMNO.

Untuk rekod, selain Reezal Merican dan Shamsul Anuar, 12 lagi pemimpin UMNO dilantik sebagai menteri dan timbalan menteri dalam Kabinet Muhyiddin.

BERITA BERKAIT
POPULAR