Kluster mahkamah hasut runtuhkan kesatuan, perpaduan: Wan Saiful

Bersatu sentiasa terbuka dan komited untuk memastikan perpaduan terjalin dan sebuah kesatuan yang kukuh diwujudkan, kata Ketua Penerangannya, Datuk Wan Saiful Wan Jan.

Malah katanya Bersatu sejak 2020 lagi telah bersetuju menerima jemputan daripada Presiden UMNO, Zahid Hamidi dan Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang untuk menyertai Muafakat Nasional (MN).

“Tetapi yang memerangi kesatuan ialah kluster mahkamah dalam UMNO. Mereka lah yang menghasut UMNO untuk menutup pintu kepada perpaduan dan sehingga hari ini mereka seolah-olah menunggang UMNO untuk menyelamatkan diri sendiri.

“Padahal dalam UMNO ramai yang ikhlas mahukan perpaduan dan kesatuan,” katanya dalam kenyataan hari ini ketika mengulas Muzakarah PAS Bersatu selama dua hari berakhir semalam, yang turut dihadiri beliau.

Kenyataan bahawa kluster mahkamah sedang menunggang UMNO bertepatan dengan apa yang disuarakan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad yang baru-baru ini berkata UMNO tidak ada pilihan sebaliknya perlu segera merehatkan Zahid dan Najib Razak, bagi membuang imej parti itu yang terpalit dalam belenggu rasuah.

Abdul Hamid dalam tulisan di laman sesawangnya, malah berpendapat Zahid dan Najib sekarang ini menggunakan UMNO untuk membebaskan mereka daripada pertuduhan di mahkamah.

Mengulas lanjut, Wan Saiful berkata penyokong kluster mahkamah secara berjemaah mengambil tindakan memaksa Tan Sri Muhyiddin Yassin meletak jawatan, setelah bersekongkol menjatuhkan Datuk Seri Faizal Azumu di Perak.

“Mereka berpakat menolak kesatuan dalam PRN Melaka. Dan penyokong kluster mahkamah juga dengan licik merancang pembubaran DUN Johor dalam kerakusan memburu kuasa di Johor juga.

“Jadi, kalau ada yang berkongsi impian kita mahu melihat kestabilan dan kesatuan politik, sila tanya dengan UMNO kenapa mereka benarkan kluster mahkamah menguasai parti mereka sehingga berlaku pergolakan berterusan politik negara,” katanya.

Menurutnya Bersatu sudah bersusah payah membina kesatuan supaya negara ini stabil.

“UMNO mesti jawab kenapa mereka begitu rajin meruntuhkan kesatuan yang telah kita bina dan kenapa UMNO begitu tamak mahu membolot kuasa.

“Adakah kluster mahkamah mempunyai kuasa yang begitu besar dalam UMNO sehingga UMNO sudah lari dari matlamat dan tidak peduli lagi dengan kestabilan politik Melayu?,” katanya.

Wan Saiful berkata Bersatu kesal dengan kerakusan kluster mahkamah dalam UMNO yang secara aktif menutup pintu perpaduan dan menggugat kestabilan politik.

BERITA BERKAIT
POPULAR